JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memberi amaran kepada mana-mana menteri dan timbalan menteri yang gagal menunjukkan prestasi baik kerana sibuk dengan kempen pilihan raya umum (Pemilu) 2024 akan digantikan.
Jokowi berkata, beliau sentiasa menilai prestasi barisan menterinya dan jika merosot, tempat mereka akan digantikan dengan calon yang lebih baik.
“Saya sentiasa memantau tahap kerja barisan menteri saya. Jika prestasi mereka merosot, saya tidak teragak-agak untuk gantikan tempat mereka dengan calon yang lebih baik.
“Jangan terlalu sibuk dengan Pemilu sehingga prestasi kerja hakiki merosot kerana kita ini berkhidmat untuk negara dan masyarakat,” katanya ketika berucap dalam Forum Rakyat, di sini kelmarin.
Program itu dianjurkan oleh Relawan Jokowi, iaitu pertubuhan sosial dan sukarelawan yang menyokong Jokowi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) sebelum ini membuka pendaftaran calon bertanding merebut kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada Pemilu 2024 bermula 1 hingga 14 Mei ini.
Sejumlah menteri dan timbalan menteri sudah pun menyatakan hasrat mereka untuk bertanding dalam Pemilu 2024.
Dalam pada itu, Jokowi menegaskan barisan menteri perlu fahami dan jelas mengenai peraturan untuk menyertai Pemilu.
“Sesiapa pun boleh sertai pilihan raya, tidak kira dia menteri atau bukan, asalkan tidak hilang tumpuan terhadap tugas harian mereka,” tegas Jokowi.