LONDON: Raja Charles III akan memakai Mahkota St Edward yang bertatahkan permata terbaik dunia sempena Istiadat Pertabalan di Westminster Abbey esok.
Mahkota itu hanya digunakan untuk upacara pertabalan dan kali terakhir dipakai pada 1953 oleh mendiang ibunya, Ratu Elizabeth II.
Mahkota emas itu dihiasi batu permata berharga termasuk delima, amethyst dan nilam dengan balutan kain baldu ungu.
“Permata terbaik dunia yang menghiasi mahkota itu bukan sahaja mempesonakan tetapi menyediakan pautan fizikal dan simbolik dengan masa silam purba.
“Ia benar-benar simbol suci kewibawaan monarki,” kata Ketua Eksekutif Jenama barang kemas Le Vian, Eddie.
Mahkota yang diubah suai mengikut saiz kepala Raja Charles III, mempunyai berat lebih daripada dua kilogram (kg).
Raja Britain itu juga akan memakai Mahkota Diraja Negara yang kali terakhir dilihat pada upacara pengebumian Ratu Elizabeth II pada September tahun lalu.
Ratu Consort, Camilla akan memakai Mahkota Ratu Mary yang dihiasi dengan 2,200 butir berlian.
Tahun ini merupakan kali pertama dalam tempoh hampir tiga abad mahkota berkenaan digunakan untuk pertabalan Ratu Consort.
Pihak istana berkata, perubahan kecil dibuat untuk mencerminkan gaya individu Camilla dan memberi penghormatan kepada mendiang Elizabeth II.
Beberapa berlian Cullinan III, IV dan V daripada koleksi peribadi mendiang Ratu Elizabeth II yang sering dipakai sebagai kerongsang turut diletakkan pada mahkota itu.-AFP