JAKARTA: Bakal calon presiden dari Pakatan Perubahan untuk Persatuan (KPP), Anies Baswedan menyelar kerajaan gagal membanteras kegiatan mafia yang semakin berleluasa di negara ini.
Beliau berkata, kegiatan itu menyebabkan banyak lapisan masyarakat berdepan masalah, termasuk golongan petani yang sukar mendapatkan bekalan baja bersubsidi ekoran dikawal mafia.
“Masalah di negara ini adalah mafia. Masalah ini harus dibanteras segera kerana ia menyukarkan banyak pihak.
“Mafia ini menindas golongan yang bekerja keras untuk mencari sumber rezeki dan mereka hanya mendapat ‘untung atas angin’.
“Berapa lama masalah ini perlu berlanjutan? Sampai bila mafia perlu kawal kegiatan di negara kita?,” ujar Anies ketika berucap kepada penyokongnya di Gelora Bung Karno.
Jelas Anies, terdapat beberapa ‘kategori’ mafia di Indonesia iaitu mafia tanah, mafia pekerja migran, mafia bantuan sosial dan pilihan raya umum.
Katanya, semua sektor ada mafia dan disebabkan masalah tersebut yang tidak diselesaikan hingga kini, rakyat Indonesia akan terus ditindas pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Rakyat yang memerlukan akan terus ditindas, hak mereka akan dirampas oleh kumpulan mafia ini.
“Sudah tiba masanya pihak berkenaan mengambil langkah paling efisien membendung masalah ini supaya rakyat kita hidup lebih selesa dan terjamin,” jelasnya.