MOSCOW: Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 19 lagi cedera dalam serangan bom berlaku di wilayah Lugansk, Ukraine.
Perkara itu dimaklumkan oleh pihak berkuasa Russia yang menyalahkan tentera Ukraine atas serangan tersebut.
“Serangan oleh kumpulan individu bersenjata ke atas kampung Karpaty mengakibatkan lima orang terbunuh dan 19 cedera,” katanya menerusi aplikasi Telegram.
Tambahnya, sebuah ladang penternakan ayam dan pusat penginapan sementara musnah dalam serangan di Karpaty, kira-kira 35 kilometer (km) barat bandar Lugansk.
Pihak berkuasa Russia bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mangsa yang terkorban dan cedera sama ada mereka adalah orang awam atau anggota tentera.
“Musuh melancarkan empat roket daripada pelancar HIMARS yang dihantar ke Kyiv oleh Amerika Syarikat (AS),” jelasnya.
Terdahulu, pihak berkuasa hanya mengesahkan empat pekerja terbunuh dalam insiden itu.
Wilayah Lugansk yang berjiran dengan Donetsk, kebanyakannya diduduki tentera Rusia. – AFP