KHARTOUM: Beberapa letupan kuat sekali lagi menggegarkan sebahagian besar kawasan di ibu negara Sudan.
Perkara itu dimaklumkan oleh penduduk yang tinggal di sekitar Khartoum.
Letupan itu berlaku ketika pemimpin angkatan tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) enggan menamatkan pertempuran di negara itu walaupun perbincangan sedang diadakan di Arab Saudi.
Seorang penduduk menetap di bandar Omdurman berhampiran Khartoum mendakwa dia bersama keluarganya dikejutkan dengan bunyi letupan dan tembakan artileri pada waktu malam.
Malah, sejumlah penduduk dari beberapa daerah mendakwa dua letupan kuat kedengaran di seluruh Khartoum.
Pertempuran tercetus antara unit tentera ketua de facto, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan RSF yang dipimpin oleh Timbalan Ketua Sudan, Mohamed Hamdan Dagalo.
Pihak yang bertelagah menghantar wakil masing-masing ke Arab Saudi bagi `mengadakan rundingan awal’.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai rundingan yang diadakan di bandar Jeddah. – AFP