LONDON: Seorang lelaki meninggal dunia secara tragis kira-kira lapan hari selepas terperangkap di dalam sebuah gua tertutup di kawasan tarikan pelancong Lake District di United Kingdom (UK).
Lapor Daily Mail, ketika kejadian, Carl O’Keeffe, 49, sedang bermain dengan kanak-kanak pada majlis hari jadi yang diadakan di dalam Pusat Pengembaraan Kong terletak di Keswick, Cumbria pada 22 April lalu.
Jelas laporan, mangsa dikatakan tergelincir lalu terperangkap di dalam terowong yang sempit.
Carl yang juga merupakan pendaki berpengalaman dari Lancester mengalami kecederaan parah selepas terperangkap di dalam gua selama empat jam.
“Setelah pekerja di pusat itu gagal menyelamatkan lelaki tersebut, mereka segera menghubungi agensi perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
“Pasukan penyelamat Gunung Keswick, ambulans udara, kru bomba dan penyelamat gua bergegas ke tempat kejadian dan berjaya membawa keluar mangsa dengan memecahkan bahagian panel tembok pendakian untuk masuk ke dalam terowong itu.
“Carl kemudian dikejarkan ke Hospital Cumberland di Carlisle untuk menerima rawatan selama beberapa hari sebelum disahkan meninggal dunia,” jelas laporan itu.
Sementara itu, pasukan penyelamat Gunung Keswick memaklumkan mangsa terperangkap dalam `terowong sempit’ ketika dia cuba memusing badannya ke arah tembok panjat di Pusat Pengembaraan Kong.
“Ketika operasi menyelamat dilakukan, kebimbangan mengenai kesihatan mangsa semakin meningkat kerana dia berada dalam kedudukan statik di dalam ruang tertutup.
“Selepas berjaya mengeluarkan mangsa dari terowong sempit itu, dia dibawa ke hospital Carlisle menerusi ambulans untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” jelasnya.