BANDUNG: Lelaki warga Australia yang ditahan selepas meludah seorang imam di sebuah masjid di sini bakal berdepan hukuman penjara selama setahun atau lebih jika disabit kesalahan.
Insiden yang berlaku di Masjid al-Muhajir, Buahbatu, Bandung, Jawa Barat pada Jumaat lalu itu terakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) yang menyaksikan Brenton Craig Abbas Abdullah McArthur meludah tepat wajah imam Basri Anwar.
Ketika kejadian, Basri sedang memperdengarkan bacaan al-Quran yang dipasang menerusi pembesar suara.
Menurut polis, McArthur yang berasal dari Perth, Australia ditahan ketika menunggu penerbangan untuk pulang ke negara asalnya di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta kelmarin.
Media tempatan melaporkan, McArthur boleh dihukum penjara sehingga 14 bulan jika disabit kesalahan kerana melakukan aksi menghina.
Menerusi Instagram, lelaki itu menafikan kesalahannya dan mendakwa dia menjadi mangsa perkauman.
“Hentikan semua sikap berpura-pura anda, jelas semua ini bersifat perkauman dan saya menjadi mangsanya.
“Saya sendiri beragama Islam dan semua ini adalah ugutan untuk warga asing seperti saya,” katanya menerusi Instagram.
Basri sebelum ini memberitahu, McArthur meludahnya kerana dipercayai lelaki itu berasa terganggu dengan bacaan al-Quran yang disifatkan sebagai ‘bising’.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia memaklumkan, pihaknya bersedia memberi bantuan kepada McArthur.