Lebih separuh tasik, takungan air dunia mengering - Utusan Malaysia

Lebih separuh tasik, takungan air dunia mengering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kajian Universiti Colorado Boulder di Amerika Syarikat (AS) mendapati lebih separuh daripada tasik dan takungan air terbesar di dunia semakin kering.

Pengarang bersama kertas kajian itu, Balaji Rajagopalan, berkata ia secara langsung mencetuskan risiko keselamatan bekalan air pada masa depan bagi manusia.

“Ini memberi kesan kepada 25 peratus penduduk penduduk dunia yang tinggal di persekitaran kawasan tasik, bermakna kira-kira dua bilion orang akan terjejas.

“Perubahan iklim dan penggunaan tidak mampan menjadi punca utama masalah ini dan ia mempunyai kesan jangka panjang yang lebih meluas,” katanya dalam kajian yang diterbitkan dalam majalah Science.

Tambah beliau, berbanding sungai, yang lebih diberi perhatian dari aspek saintifik, tasik bagaimanapun tidak dipantau dengan baik, walaupun ia sangat penting untuk keselamatan air.

Katanya, bencana alam sekitar yang melanda perairan lebih luas seperti Laut Caspian dan Laut Aral, memberi isyarat kepada penyelidik bahawa adanya krisis yang lebih besar.

“Sehubungan itu, pasukan kajian yang turut membabitkan saintis dari AS, Perancis dan Arab Saudi, meneliti 1,972 tasik dan takungan terbesar di Bumi, menggunakan satelit dari 1992 hingga 2020 untuk mengkaji persoalan itu secara sistematik.

“Kami memberi tumpuan kepada tasik air tawar yang lebih besar kerana ketepatan satelit serta kepentingannya untuk manusia dan hidupan liar,” katanya.

Beliau berkata, pasukan memperoleh data daripada gabungan imej Landsat, iaitu program pemerhatian Bumi yang paling lama berjalan, dengan ketinggian permukaan air yang diperoleh menerusi altimeter satelit, untuk menentukan cara gerakan tasik berubah selama hampir 30 tahun.

Katanya, hasil kajian mendapati 53 peratus tasik dan takungan menyaksikan penurunan air, pada kadar kira-kira 22 gigaton (bersamaan satu bilion tan metrik) setahun.

“Sepanjang tempoh yang dikaji, 603 kilometer padu air hilang, iaitu 17 kali ganda air di Tasik Mead, sebuah takungan terbesar di AS.

“Bagi tasik semula jadi, banyak kerugian disebabkan oleh pemanasan iklim serta penggunaan air manusia yang tidak terkawal,” katanya.

Sementara itu, pengarang utama, Fangfang Yao, berkata dunia berdepan dengan kehilangan air tasik yang banyak, namun ia tidak dapat dikesan akibat perubahan iklim dan tindakan manusia.

“Antaranya ialah kekeringan Tasik Good-e-Zareh di Afghanistan dan Tasik Mar Chiquita di Argentina,” katanya dalam kenyataan.

Pada peringkat global, tasik dan takungan air tawar menyimpan 87 peratus daripada air mentah di dunia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya