MOSCOW: Tentera Russia memaklumkan pihaknya sedang membawa pulang lebih 200 rakyatnya dari Sudan yang dilanda konflik.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan.
Menurut kementerian, proses evakuasi rakyat Russia sedang dilakukan dengan menggunakan empat pesawat pengangkut tentera Moscow.
Jelas kementerian, rakyat dibawa keluar termasuk kakitangan diplomat, anggota tentera serta warga Russia dan negara bekas Kesatuan Soviet.
“Proses evakuasi itu turut merangkumi beberapa rakyat negara lain yang meminta bantuan,” jelas kementerian.
Pertempuran di Sudan mengorbankan lebih 500 orang, menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan perpindahan besar warga asing dan kakitangan diplomat antarabangsa.
Konflik tercetus antara unit tentera ketua de facto, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan RSF yang dipimpin oleh Timbalan Ketua Sudan, Mohamed Hamdan Dagalo yang juga dikenali sebagai Hemedti. – AFP