Kumpulan bertelagah di Sudan setuju bantuan kemanusiaan, bantah gencatan senjata - Utusan Malaysia

Kumpulan bertelagah di Sudan setuju bantuan kemanusiaan, bantah gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Dua kumpulan yang bertelagah di Sudan komited untuk melindungi orang awam dan menggerakkan bantuan kemanusiaan, namun tidak bersetuju terhadap cadangan gencatan senjata.

Selepas seminggu rundingan dijalankan di pelabuhan Arab Saudi di Jeddah, Angkatan Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) hanya menandatangani deklarasi untuk berusaha ke arah perbincangan lanjut bagi gencatan senjata jangka pendek.

“Kedua-dua pihak semakin jauh antara satu sama lain,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS yang enggan namanya disiarkan.

Menurutnya, perunding yang bekerjasama dengan pengantara Arab Saudi dan AS menetapkan matlamat untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dalam masa 10 hari.

Dalam pada itu, pertempuran baharu menggegarkan Halfaya, pintu masuk ke ibu negara Khartoum semalam apabila penduduk mendengar pesawat pejuang mengelilingi Khartoum dan bandar bersebelahannya Bahri dan Omdurman.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak menunjukkan mereka bersedia untuk menamatkan konflik yang meletus secara tiba-tiba bulan lalu dan mengancam untuk mengheret Sudan ke kancah perang saudara, membunuh ratusan orang serta mencetuskan krisis kemanusiaan.

Sebelum ini, berulang kali perjanjian gencatan senjata dilanggar, menyebabkan orang awam hidup dalam keadaan huru-hara.

Ia mengakibatkan penduduk terputus bekalan elektrik, air dan bekalan makanan selain menyebabkan sistem kesihatan awam terjejas.

Pegawai kanan Jabatan Negara AS berkata, deklarasi yang ditandatangani itu bertujuan meningkatkan aliran bantuan kemanusiaan dan memulakan pemulihan perkhidmatan air dan elektrik.

Katanya, pengantara bagi kedua-dua pihak bertelagah berharap mampu mengatur pengunduran anggota tentera dari hospital dan klinik serta dapat menguruskan pengebumian penduduk yang terkorban akibat peperangan itu secara terhormat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata lebih 600 orang terbunuh dan lebih 5,000 orang cedera dalam pertempuran setakat ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 450 orang terbunuh di wilayah barat Darfur.

Untuk rekod, Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021 apabila tentera memecat kerajaan peralihan pimpinan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya