CHIANG MAI: Kualiti udara di utara Thailand tersenarai sebagai antara yang paling buruk di dunia sejak beberapa minggu lalu dengan udara bertoksik dilaporkan merebak ke ibu kota Bangkok dan beberapa negeri lain berikutan masalah kebakaran hutan berterusan.
Musim sejuk di Chiang Mai yang merupakan destinasi paling popular di Thailand turut bertukar menjadi ‘musim asap’, menyebabkan pendapatan industri pelancongan di bandar itu merudum.
Masalah ini dikhuatiri menjejaskan jumlah keluar mengundi ketika Thailand bakal mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 14 Mei ini apabila masyarakat enggan keluar mengundi sekiranya pencemaran udara berterusan.
KEBAKARAN HUTAN BERTERUSAN
Walaupun hujan dilaporkan turun kelmarin, keadaan jerebu teruk yang melanda masih di tahap bahaya dan kebakaran yang melanda beberapa kawasan hutan di utara terutama bandar Chiang Rai masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Sukarelawan yang diselaraskan oleh pertubuhan bukan kerajaan, The Mirror Foundation membantu memadamkan kebakaran namun tugas itu semakin sukar dalam suhu panas melampau di kawasan berbahaya dalam keadaan udara toksik.
“Saya merasakan asap itu memberi kesan besar kepada kesihatan saya. Walaupun kami cuba berhati-hati sebaik mungkin, nasib tidak selalu menyebelahi kami dan bahaya sebenar berterusan setiap hari kami berada di luar sana,” kata seorang kakitangan barisan hadapan yayasan itu, Arso Armor.
Masalah jerebu tersebut berpunca daripada pembakaran pertanian bermusim, terutamanya bagi membersihkan tanah yang digunakan untuk penanaman tebu dan jagung selepas musim menuai.
Pembakaran jenis itu menjadi cara termurah dan paling pantas untuk membersihkan sisa tanaman tetapi juga untuk meningkatkan hasil masa depan serta saiz kawasan penanaman mereka hingga tanah pertanian terus mengambil alih gunung-gunung dan hutan semula jadi.
Isu itu bertambah buruk apabila permintaan makanan di Asia Tenggara dan China meningkat dengan majoriti jagung yang dihasilkan di rantau ini digunakan semata-mata sebagai makanan haiwan ternakan seperti lembu, ayam, babi serta itik.
Menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand, hampir dua juta orang menerima rawatan di hospital akibat penyakit berkaitan pencemaran udara antara 1 Januari hingga 19 Mac lalu.
JEREBU JADI PENENTU
Ini bermakna bagi penduduk yang bersiap sedia untuk mengundi memilih kerajaan baharu, udara tidak sihat yang berlarutan akan menjadi perhatian apabila mereka tiba di hadapan peti undi pada 14 Mei kelak.
Menurut tinjauan pendapat nasional, parti Pheu Thai dijangka mampu membentuk kerajaan seterusnya dengan pengasasnya yang juga anak perempuan Thaksin Shinawatra, Paetongtarn Shinawatra sebagai calon pilihan untuk menyandang jawatan perdana menteri.
Tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Nasional pada 16 April lalu meletakkan beliau di tempat teratas dengan 35.7 peratus undian.
Parti Pheu Thai dijangka menyapu bersih kebanyakan kerusi di bahagian utara semasa pilihan raya kali ini, sama seperti sebelumnya.
Tetapi akan ada saingan sengit, terutamanya di daerah bandar di mana calon-calon dari parti Move Forward yang berusaha keras mengintai kemenangan.
“Chiang Mai adalah wilayah terpenting bagi utara Thailand. Saya rasa Pheu Thai akan memenangi hampir semua kerusi kecuali hanya beberapa kawasan.
“Tetapi ia bergantung kepada keadaan dan situasi semasa di kawasan tersebut,” kata Penganalisis Politik Universiti Rajabhat Chiang Mai, Nuttakorn Vititanon.
Nuttakorn berkata, beliau percaya cara calon merangka dasar untuk menangani isu pencemaran udara sangat kritikal dalam menentukan pemenang terutama di beberapa kawasan di utara Thailand.-AGENSI