ANKARA: Penganalisis menjangkakan krisis ekonomi Turkiye akan berlanjutan selepas Presiden, Recep Tayyip Erdogan menduduki tempat teratas dalam pusingan pertama pilihan raya negara itu dengan partinya memenangi majoriti kerusi Parlimen dalam undian perundangan.
Lira Turkiye yang semakin menyusut nilainya sejak kebelakangan ini, dilihat jatuh hampir ke paras terendah apabila pasaran dibuka selepas undian Ahad lalu.
ANCAMAN KRISIS MATA WANG
Erdogan memperoleh sokongan di luar jangkaan selepas memperoleh 49.5 peratus undian dalam perlumbaan jawatan Presiden berbanding 44.9 peratus yang diterima pencabarnya, Kemal Kilicdaroglu.
Memandangkan kedua-dua calon tidak mencapai jumlah 50 peratus yang diperlukan untuk diisytiharkan sebagai pemenang, undian penentuan akan diadakan pada 28 Mei ini.
Perikatan pemerintahan Erdogan, yang terdiri daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) serta sekumpulan parti nasionalis juga memperoleh majoriti kerusi Parlimen.
Menurut penganalisis dari Capital Economics, Liam Peach, kebimbangan tentang krisis kos sara hidup tidak menghilangkan sokongan terhadap Erdogan, walaupun dasar ekonominya yang berbeza termasuk keengganan untuk menaikkan kadar faedah menyumbang kepada peningkatan inflasi dan kos makanan serta barangan keperluan asas lain.
“Harapan untuk kemenangan pembangkang dan usaha mengembalikan penggubalan dasar ortodoks hampir pudar.
“Sebaliknya, kini terdapat risiko yang sangat nyata bahawa kemenangan Erdogan boleh membawa kepada ketidakstabilan makroekonomi di Turkiye, termasuk ancaman krisis mata wang yang teruk, tekanan dalam kedudukan perbankan serta hutang kerajaan di bawah garisan,” katanya.
Ahli ekonomi dari Bloomberg menganggarkan bank pusat Turkiye sudah membelanjakan lebih daripada AS$177 bilion (RM800.7 juta) untuk menyokong lira sejak Disember 2021.
Kumpulan Penyelidikan Inflasi Turkiye (ENAG) yang mengukur inflasi pada sekumpulan barangan dan perkhidmatan merekodkan kenaikan harga sebanyak 105.19 peratus berbanding tahun lalu.
RIZAB ASING BERKURANGAN
Harga bawang dan makanan ruji di negara itu menjadi bahan perbincangan hangat dalam pilihan raya selepas Kilicdaroglu mengeluarkan video bulan lalu mendakwa satu kilogram bawang akan naik mencecah 100 lira (RM22.89) jika Erdogan kembali berkuasa.
Erdogan bagaimanapun pantas menolak kebimbangan tersebut dan menegaskan negara itu tidak akan mempunyai sebarang masalah berkaitan kenaikan harga bawang, kentang atau timun.
Agensi penarafan kredit Amerika Syarikat (AS), Fitch Ratings menunjukkan rizab asing Turkiye semakin berkurangan disebabkan oleh percubaan untuk menstabilkan lira yang akan menimbulkan kesukaran kepada kerajaan yang dipilih kelak.
“Tidak kira siapa yang menang, kerajaan akan datang masih akan menghadapi latar belakang ekonomi yang mencabar ekoran permintaan pertukaran asing, tekanan ke atas lira, defisit akaun semasa yang luas, rizab antarabangsa yang merosot dan inflasi yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, lapor Al Jazeera, misi pemerhati antarabangsa yang memantau pilihan raya berkenaan turut mengeluarkan kenyataan menyentuh isu ketelusan di negara itu .
Kenyataan berkenaan dikeluarkan pada sidang akhbar di Ankara oleh misi pemerhatian bersama dari Pejabat OSCE untuk Institusi Demokratik dan Hak Asasi Manusia (ODIHR), Perhimpunan Parlimen OSCE (OSCE PA) dan Perhimpunan Parlimen Majlis Eropah (PACE).
“Kami agak kesal melihat urusan pentadbiran pilihan raya kurang telus, berat sebelah terhadap media awam dan wujud batasan dalam kebebasan bersuara.
“Proses untuk mengendalikan aduan di semua peringkat pentadbiran pilihan raya tidak mempamerkan ketelusan dan keputusan Majlis Pilihan Raya Tertinggi yang diterbitkan secara amnya tidak bersandarkan kepada alasan yang bernas,” kata kenyataan itu.
Delegasi OSCE turut mendakwa parti politik pimpinan Erdogan dan sekutunya menikmati kelebihan dari segi liputan media berbanding pembangkang yang tidak menerima peluang sama ketika berkempen.
Bagaimanapun, Kementerian Luar membidas kenyataan itu dan menyifatkannya sebagai dakwaan tidak berasas dan tidak melambangkan prinsip kumpulan pemerhati bebas.-AGENSI