GENEVA: Jumlah pelarian dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal direkodkan mencecah 71.1 juta orang di seluruh dunia pada tahun lalu.
Jumlah itu dicapai berikutan konflik seperti perang Russia-Ukraine dan bencana alam seperti banjir di Pakistan.
Menurut data Pusat Pemantauan Pelarian (IDMC), angka itu menunjukkan peningkatan 20 peratus sejak 2021, dengan bilangan tertinggi melibatkan penduduk yang terpaksa melarikan diri demi keselamatan dan perlindungan.
Jelas IDMC, hampir tiga per empat daripada penduduk dunia yang kehilangan tempat kediaman, tinggal di 10 negara, termasuk Syria, Afghanistan, Republik Demokratik Congo, Ukraine dan Sudan.
Kebanyakan negara tersebut berdepan dengan konflik, sekali gus menjadi punca utama kepada perpindahan penduduk pada tahun lalu.
Sebagai contoh, peperangan di Ukraine mencetuskan hampir 17 juta pemindahan penduduk pada 2022.
“Konflik dan keganasan menyebabkan 28.3 juta pemindahan penduduk di seluruh dunia, satu angka yang tiga kali ganda lebih tinggi daripada purata tahunan sepanjang dekad lalu,” menurut pusat tersebut.
Selain itu, sebahagian besar mereka yang kehilangan tempat tinggal pada tahun lalu juga merangkumi 32.6 juta orang yang disebabkan oleh bencana seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh.
‘Konflik dan bencana pada tahun lalu memburukkan lagi kelemahan dan ketidaksamaan sedia ada dalam kalangan masyarakat, sekali gus mencetuskan pemindahan pada skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
“Perang di Ukraine juga mencetuskan krisis keselamatan makanan global yang paling teruk menimpa golongan pelarian,” kata Setiausaha Agung Majlis Pelarian Norway, Jan Egeland yang menubuhkan IDMC pada 19918. – REUTERS