BRASILIA: Seorang doktor disiasat polis selepas didakwa `naik ke atas perut seorang wanita mengandung dan menarik kepala bayinya dengan kuat sehingga terputus’ ketika melakukan prosedur kelahiran.
Lapor Daily Mail, keluarga mangsa mendakwa bayi perempuan mereka masih hidup apabila kepala anak kecil itu mula kelihataan semasa proses kelahiran itu.
Malah, keluarga mangsa mendakwa pihak hospital cuba memaksa mereka menandatangani dokumen untuk menyembunyikan insiden berkenaan selepas kejadian traumatik itu.
Insiden pada 1 Mei lalu dikatakan berlaku di Hospital das Clínicas da UFMG yang terletak di kawasan kejiranan Santa Efigenia, Belo Horizonte di Brazil.
Ibu bayi, Ranielly Coelho Santos membuat laporan polis, dua hari selepas prosedur kelahiran itu.
Menurut laporan, Ranielly, 34, dibawa ke hospital pada 24 April lalu ketika usia kandungannya mencecah 28 minggu berikutan bimbang dengan tekanan darah tinggi dialaminya sebelum pasukan doktor melakukan prosedur kelahiran tujuh hari kemudian.
Semasa proses kelahiran bayi itu, pakar obstetrik yang identitinya tidak didedahkan, dikatakan meminta suami Ranielly memerhati prosedur berkenaan dengan teliti.
“Suami dan ibu Ranielly menyaksikan kelahiran bayi perempuan mereka.
“Lelaki itu mendakwa bayinya masih hidup dan sihat pada ketika itu kerana menggerakkan mulutnya selain matanya turut berkedip.
“Bagaimanapun, dalam kejadian menyedihkan, doktor naik ke atas perut wanita mengandung itu untuk cuba menarik bayi itu keluar sehingga kepala bayi tersebut terputus,” jelas laporan polis.
Tambah laporan polis, doktor memohon maaf kepada keluarga mangsa atas insiden yang berlaku ketika proses kelahiran bayi itu.
“Keluarga mangsa mendakwa seorang pekerja sosial memberitahu bahawa pihak hospital akan menanggung semua perbelanjaan bagi pengebumian bayi itu,” jelas laporan.