Kejatuhan ringgit untungkan peniaga Singapura - Utusan Malaysia

Kejatuhan ringgit untungkan peniaga Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Kejatuhan ringgit ke paras terendah berbanding dolar Singapura menguntungkan ramai golongan peniaga di negara kota singa itu walaupun perkara sebaliknya berlaku bagi penduduk di negara ini.

Menurut laporan portal berita Mediacorp, perkara itu bukan sahaja menggembirakan golongan pelancong yang boleh menikmati percutian di seberang tambak pada harga yang lebih murah, tetapi perkembangan tersebut turut memberi kesan yang baik kepada perniagaan makanan halal di negara itu.

PENIAGA SINGAPURA UNTUNG

Pengusaha produk sejuk beku, Hasan Abdul Rahman mengakui gembira selepas mendapat tahu Ringgit Malaysia menjunam menghampiri paras terendah dalam sejarah RM3.41 berbanding dolar Singapura.

Hasan, 33, merupakan Pengarah Urusan syarikat Pondok Abang yang mengeluarkan produk halal hidangan sejuk beku sedia dimakan dan sekitar 30 peratus daripada barangannya diimport dari Malaysia.

“Dengan kadar pertukaran terkini itu, import dari Malaysia sekarang lebih murah.

“Ia satu perkara baik. Ia membantu kami menjimat wang yang diperlukan dan membelanjakannya untuk keperluan lain,” katanya.

Beliau menambah, setiap mata wang dolar Singapura yang dijimat penting memandangkan terdapat tekanan inflasi yang tinggi.

Namun sebaliknya berlaku bagi warga Malaysia yang kini terpaksa membayar lebih apabila mengunjungi Singapura.

Perkara itu disuarakan seorang warga Malaysia dan ejen hartanah, Carrey Chiah yang tinggal di ibu kota Kuala Lumpur. 

Wanita berusia 52 tahun itu berkata, dia kini perlu melakukan perjalanan ke Singapura sekali setiap tiga hingga empat bulan untuk melawat anak perempuannya yang mula bekerja di negara itu sejak tahun lalu.

Dengan mata wang negara yang semakin lemah, lawatan ke Singapura yang biasanya dilakukan selama tiga hingga empat hari boleh menelan belanja ratusan ringgit lebih tinggi berbanding ketika berkunjung semasa tempoh sama tahun lalu. 

“Ketika itu, kadar pertukaran mata wang adalah sekitar RM3.2 kepada 1 dolar Singapura.

“Tetapi tidak menjadi satu kebimbangan besar memandangkan tempoh penginapan di sini pendek,” katanya.

RINGGIT LAKU DI SINGAPURA

Sebilangan pengurup wang ditemui Mediacorp berkata, mereka menyaksikan kenaikan jumlah pelanggan yang menukarkan wang dolar Singapura kepada mata wang Ringgit Malaysia yang lemah supaya dapat memanfaatkan kemerosotan pada kadar pertukaran tersebut.

Antaranya Pengarah VS Exchange, Vanchilabbai Sharifdeen Tajdeen yang membuka syarikat pengurup wang di pusat beli-belah The Arcade di Collyer Quay.

Beliau menyaksikan peningkatan 20 hingga 30 peratus bilangan pelanggan yang menukar dolar Singapura kepada Ringgit Malaysia sepanjang dua hari lalu.

Ahli ekonomi dan pakar pertukaran asing menjelaskan bahawa kemerosotan pada nilai Ringgit berbanding dolar Singapura melibatkan dua sebab utama iaitu pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan kelemahan ekonomi China.

Ketua Ahli Strategi Forex Maybank, Saktiandi Supaat menjelaskan, kedua-dua dolar Singapura dan Ringgit Malaysia melemah berbanding dolar AS sejak minggu lalu, tetapi dolar Singapura lebih berdaya tahan.

“Memandangkan Singapura mempunyai dasar kadar pertukaran dan bukannya dasar kadar faedah, terdapat kurang tekanan dari segi pembezaan kadar hasil pada dolar Singapura berbanding Ringgit Malaysia,” katanya.

Kebanyakan pelanggan kini dilaporkan menukar sekitar 500 hingga 1,500 dolar Singapura (RM1700 hingga RM5,102) bukan untuk bercuti ke Malaysia dan membelanjakannya secara serta-merta tetapi sebaliknya, untuk disimpan buat lawatan ke negara itu pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya