BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dikatakan mungkin tidak akan meneruskan kerjaya politik lagi selepas parti pimpinannya mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum negara itu.
Memetik laporan CNA, Timbalan Ketua parti United Thai Nation, Thanakorn Wang memberi bayangan mengenai persaraan pemimpin itu kepada media tempatan.
“Beliau tidak menyebutnya tetapi dapat rasakan mungkin akan bersara,” katanya.
Thanakorn merujuk kepada Prayut, 69 tahun, yang bertanding jawatan perdana menteri di bawah panji United Thai Nation.
Keputusan awal terbaharu dari Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menunjukkan parti pesaingnya Move Forward dan Pheu Thai berada di dua tempat teratas pada perlumbaan pilihan raya, Ahad lalu.
Parti Move Forward mendahului dengan 152 kerusi, diikuti oleh Pheu Thai dengan memperoleh sebanyak 141 kerusi.
Parti United Thai Nation pula berada di kedudukan kelima dengan memperoleh 36 kerusi.
Thanakorn menyatakan sokongannya kepada Prayut dan berkongsi rasa kagumnya terhadap jeneral bersara yang sudah berkhidmat sebagai perdana menteri selama lebih lapan tahun itu.
“Beliau bekerja untuk negara sepanjang hayatnya dan berkhidmat selama kira-kira lapan tahun sebagai perdana menteri.
“Saya percaya rakyat Thailand tahu beliau sudah melakukan begitu banyak untuk negara dan tidak pernah terpalit dengan apa-apa isu termasuk rasuah.
“Saya juga percaya Jeneral Prayut atau Uncle Tu akan kekal di hati rakyat Thai untuk jangka masa yang lama,” katanya.
Prayut menjadi perdana menteri pada tahun 2014 selepas mengetuai rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan dipilih secara demokrasi, Yingluck Shinawatra.
Junta tenteranya memerintah Thailand selama hampir lima tahun sebelum pilihan raya umum diadakan pada 2019 di bawah Perlembagaan baharu yang ditulis oleh jawatankuasa dilantik oleh tentera.
Pada masa itu, Prayut merupakan calon perdana menteri tunggal dari parti pro-junta Palang Pracharat.
Parti itu berjaya membentuk kerajaan dengan sekutu politiknya, walaupun parti Pheu Thai yang mempunyai majoriti kerusi di Dewan Rakyat.
Prayut menyertai pilihan raya pada Ahad lalu dengan harapan untuk kekal berkuasa selepas lebih lapan tahun memegang jawatan itu.