MOSCOW: Sebuah kafe di bandar Perm, Russia menarik perhatian ramai selepas mengumumkan rancangannya untuk memperkenalkan latte yang mengandungi susu ibu dalam menu minuman.
Lapor Oddity Central, rangkaian kafe Coffee Smile menjadi bualan hangat di media sosial Russia sejak minggu lalu selepas menyatakan hasrat untuk menggunakan susu badan manusia sebagai ramuan dalam produk minuman kopi seperti latte dan cappuccino.
Isu itu mula mendapat perhatian umum pada awal bulan ini selepas cawangan Coffee Smile di beberapa lokasi didakwa menampal poster mengiklankan ramuan bahan baharu itu yang kini menjadi kontroversi.
Rata-rata warganet juga berkongsi gambar poster iklan kafe itu di media sosial.
Pada ketika itu, seorang ahli perniagaan tempatan yang juga pemilik Coffee Smile, Maxim Kobelev memuat naik sebuah video promosi mendakwa kafenya akan menggunakan susu ibu yang disimpan dalam beg khas gred farmasi.
Malah, dalam video tersebut, seorang wanita muda turut mendakwa akan membekalkan susu badannya kepada kafe terbabit.
“Baru-baru ini, ketika menjalani tempoh berpantang, saya mendapati terdapat keperluan untuk susu ibu dalam kuantiti yang banyak.
“Saya menyedari mempunyai susu badan yang banyak, jadi saya mahu menjualnya dan pada masa sama memperoleh pendapatan tambahan,” kata wanita itu yang bekerja sebagai pendandan rambut.
Dalam pada itu, Kobelev menerusi video itu memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa para ibu yang membekalkan susu badan akan menjalani saringan kesihatan bagi memastikan produk digunakan itu adalah selamat.
Katanya, pada peringkat permulaan, minuman yang mengandungi kira-kira 40 hingga 45 dos susu ibu, akan dihidangkan di kafe berkenaan.
Tambah Kobelev, dia merancang untuk meningkatkan pengeluaran kepada kira-kira 1,000 produk menjelang akhir tahun ini.
Dilaporkan, minuman mengandungi susu ibu itu berharga kira-kira 650 rubel (RM37.57).