HONG KONG: Seutas jam tangan yang pernah dimiliki oleh maharaja terakhir Dinasti Qing di China, berjaya dijual pada harga AS$5.1 juta (RM23.3 juta) dalam satu acara lelongan diadakan di Hong Kong.
Pembida yang identitinya tidak didedahkan, dilaporkan membeli jam tangan jenama Patek Philippe milik Aisin-Gioro Puyi.
Bagaimanapun, harga yang dijual itu tidak merangkumi kos agensi lelongan tersebut.
Ketua bahagian jam tangan di agensi Phillips Asia, Thomas Perazzi berkata, harga jualan itu mencatatkan `rekod tertinggi’ bagi mana-mana jam tangan antik milik maharaja dalam acara lelongan.
Menurut agensi lelongan, jam antik itu merupakan satu daripada lapan jam tangan Patek Philippe Reference 96 Quantieme Lune yang pernah dihasilkan.
Jelas Phillips Asia, jam tangan itu dihadiahkan oleh Puyi kepada seorang juru bahasa Russia ketika beliau dipenjarakan oleh Kesatuan Soviet.
Dilaporkan, harga jam tangan itu mengatasi anggaran pra-jualan sebanyak AS$3 juta (RM13.7 juta).
Beberapa jam tangan lain yang pernah dimiliki oleh maharaja dan dijual dalam acara lelongan termasuk jenama Patek Philippe milik Raja Ethiopia terakhir, Haile Selassie berjaya dijual pada harga AS$2.9 juta (RM13.2 juta) pada 2017.
Jam tangan jenama Rolex milik Maharaja Vietnam terakhir, Bao Dai dijual pada harga AS$5 juta (RM22.9 juta) pada acara lelongan tahun 2017.
Aisin-Gioro Puyi merupakan maharaja terakhir dinasti Qing China yang mula memerintah ketika hanya berusia dua tahun.
Selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, Puyi ditahan oleh Tentera Merah Soviet di Lapangan Terbang Shenyang di China.
Puyi ditahan sebagai tawanan perang dan diletakkan di kem tahanan di Khabarovsk, Russia selama lima tahun.
Menurut agensi lelongan, pihaknya menghabiskan masa selama tiga tahun bekerjasama dengan pakar jam tangan antik, ahli sejarah, wartawan dan saintis untuk mengkaji sejarah jam tangan dan mengesahkan asal usulnya. – REUTERS