JAKARTA: Indonesia secara rasmi kini mempunyai dua buah kapal perang baharu yang dihasilkan oleh syarikat tempatan, iaitu PT PAL Indonesia.
Dua buah kapal yang dibina itu adalah kapal tempur laju 60 m.
Majlis penamaan kapal itu dirasmikan oleh Ketua Staf Angkatan Laut (KSAL), Laksamana Tentera Nasional Indonesia, Muhammad Ali di Surabaya kelmarin.
“Dengan terbinanya dua kapal ini, sistem pertahanan Indonesia dan kemampuan tentera laut sebagai komponen utama keselamatan negara dapat dikukuhkan.
“Saya mengumumkan nama dua kapal tersebut adalah KRI Kapak-625 dan KRI Panah-626,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Dalam pada itu, Muhammad Ali turut menyatakan dua kapal baharu tersebut bertujuan melengkapi jentera ketenteraan bagi mengawal keselamatan perairan negara.
Katanya, pembinaan aset ketenteraan baharu amat penting bagi memastikan strategi keselamatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Dua nama yang dipilih itu merupakan simbol harapan dan cita-cita negara ini.
“Kapak dan panah merupakan dua senjata tradisional yang digunakan nenek moyang kita dalam mempertahankan negara dan kedaulatan, jadi ia sesuai untuk dijadikan simbol keselamatan.
“Siapa lagi yang perlu bangga dengan senjata tradisional kita kalau bukan rakyat Indonesia sendiri?,” ujarnya.
Sementara itu, kedua-dua kapal tersebut sudah pun menjalani ujian fungsi di lautan dan merekodkan keupayaan yang baik, sekali gus menunjukkan syarikat tempatan juga mampu menghasilkan jentera keselamatan pada tahap tertinggi.