BATAM: Indonesia giat membangunkan serum darah yang boleh memberikan imuniti sementara kepada ternakan bagi bagi membendung wabak demam babi Afrika yang kini merebak di ladang babi terbesar di negara itu.
Ketua Pihak Berkuasa Veterinar Kepulauan Riau, Dr Honismandri berkata, pegawainya sedang berusaha menghasilkan serum pemulihan tersebut daripada darah babi yang masih hidup.
BANGUNKAN SERUM PEMULIHAN
“Serum pemulihan adalah serum darah yang mengandungi antibodi yang boleh memberikan imuniti jangka pendek terhadap jangkitan.
“Serum ini sedang dibangunkan di kemudahan kerajaan di Surabaya, bandar kedua terbesar di Indonesia dan ibu kota wilayah Jawa Timur.
“Ini adalah langkah penting untuk mencegah dan membendung penularan demam babi Afrika kerana pada masa ini tiada vaksin,” katanya.
Menurut Honismandri, kemudahan yang sama sudah membangunkan serum daripada babi yang dijangkiti di bahagian lain di Indonesia.
Bagaimanapun, jelasnya, virus yang menjangkiti ternakan babi di Pulau Bulan di wilayah Riau kelihatan mempunyai strain genetik tertentu yang tidak ditemui dalam kes jangkitan demam babi Afrika sebelum ini di negara itu.
“Membangunkan serum daripada darah babi yang masih hidup di Pulau Bulan akan memastikan keberkesanan serum terhadap jenis virus demam babi Afrika ini.
“Ia akan mengambil masa dua hingga tiga bulan sehingga produk siap sepenuhnya. Selepas itu kita boleh memulakan proses inokulasi dengan menyuntik serum itu kepada ternakan babi,” katanya.
Menurut data Agensi Pertanian Kepulauan Riau, ladang seluas 1,500 hektar yang terletak di Pulau Bulan mampu mengeksport kira-kira 240,000 ekor babi setahun ke Singapura.
Eksport dari pulau itu membentuk kira-kira 15 peratus daripada jumlah bekalan daging babi di Singapura.
VIRUS MEREBAK CEPAT
Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, pada 20 April lalu, bangkai babi yang berasal dari Pulau Bulan didapati dijangkiti demam babi Afrika, menyebabkan Singapura menghentikan pengimportan babi hidup dari lokasi berkenaan.
Honismandri yang memantau kesihatan haiwan di wilayah itu mengesahkan berkenaan sudah merebak di kebanyakan ladang namun keadaan kini terkawal.
Demam cepat menular pada ternakan babi dan babi hutan liar dengan kadar kematian yang tinggi, menyebabkan penduduk sekitar Pulau Bulan semakin bimbang.
Kajian menunjukkan virus itu boleh bertahan dalam daging babi untuk tempoh yang lama selepas babi disembelih namun dilaporkan tidak menjangkiti manusia atau haiwan lain.
Lebih 35,000 babi di Pulau Bulan dilaporkan mati akibat penyakit itu dan pekerja terpaksa memusnahkan 119,000 ekor lagi yang berkongsi tempat tinggal sama dengan babi bergejala.
“Kami juga sedang meneroka potensi vaksin. Sesetengah negara sedang membangunkan vaksin berpotensi untuk demam babi Afrika. Jika ia terbukti berkesan, kami akan berusaha mendapatkannya untuk digunakan di Pulau Bulan.” jelas Honismandri.