JAKARTA: Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif memaklumkan, kerajaan bakal melancarkan ‘golden visa‘ bagi warga asing yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kerja untuk menetap sambil bekerja di negara ini.
Menterinya, Sandiaga Uno berkata, rancangan tersebut sudah pun dibentangkan kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan barisan menteri yang berkenaan.
“Golden visa ini adakan dilaksanakan dalam masa terdekat untuk menarik lebih banyak kemasukan warga asing yang mempunyai kepakaran kerja dalam bidang digital, kesihatan dan teknologi ke negara kita.
“Rancangan itu bukan sahaja boleh mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, malah turut menjadikan Indonesia sebagai hub lonjakan ekonomi.
“Kita berharap golden visa dapat membawa perubahan yang signifikan bagi Indonesia,” katanya.
Selain itu, rancangan tersebut juga diharapkan dapat menarik lebih banyak pelabur asing masuk ke negara ini.
“Visa ini boleh menjadi ‘game changer’ buat Indonesia dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
“Kita bakal saksikan golongan ‘digital nomad’ menjadikan Indonesia sebagai destinasi utama mereka,” ujar Sandiaga.
Terdahulu, Indonesia memperkenalkan ‘visa rumah kedua’ untuk warga asing yang ingin menetap di negara ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
Golden visa pula khusus untuk golongan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kerja, terutamanya digital, teknologi dan kesihatan.