JAKARTA: Gunung Merapi yang merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di dunia, meletus semula dan memuntahkan lahar lebih dua kilometer (km) dari kawahnya.
Imej dramatik lahar yang mencurah dari kawah gunung berapi itu berjaya dirakam Balai Cerap Gunung Merapi yang dikendalikan kerajaan.
Menurut Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi (BPPTKG), berpuluh-puluh gegaran susulan kecil turut direkodkan sejurus selepas letusan dikesan.
“Aktiviti Gunung Merapi sedikit meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini tetapi peningkatan seperti ini sering berlaku.
“Cuaca cerah bermakna orang ramai boleh melihat letusan yang mengalir dari gunung berapi itu dengan jelas,” kata Ketua BPPTKG, Agus Budi Santoso.
Menurut Agus, Gunung Merapi yang terletak hanya 28 km di utara ibu kota wilayah Yogyakarta dipantau rapi oleh agensi itu.
Jelasnya, pihak berkuasa sudah melaksanakan zon sekatan sepanjang tujuh km bermula tahun lalu bagi menjalankan penilaian risiko di kawasan kampung berhampiran dan lahar yang mengalir sejak kelmarin masih berada di lingkaran zon berkenaan.-AFP