Cuaca panas di India ibarat ‘neraka dunia’

Cuaca panas di India ibarat ‘neraka dunia’

PENONTON menggunakan selendang untuk berlindung daripada cuaca panas melampau semasa perlawanan kriket di Stadium Ekana di Lucknow. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUCKNOW: India kini dilanda cuaca panas ekstrem sehingga mencecah 45 darjah Celsius di negeri Uttar Pradesh dengan beberapa kawasan lain merekodkan suhu melebihi 40 darjah Celsius.

Beberapa kawasan di barat laut dan tenggara India ketika ini bersiap sedia menghadapi cuaca panas terik yang luar biasa.

Malah, amaran cuaca buruk turut dikeluarkan di New Delhi ketika suhu tinggi melampau melanda beberapa kawasan di negara itu.

Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran gelombang haba di tujuh negeri selatan dan tengah India pada minggu lalu.

Amaran cuaca itu kini diperluaskan ke ibu kota dan beberapa lagi negeri utara ketika suhu panas melepasi paras normal.

Ia turut memberi amaran bahawa cuaca panas terik akan berterusan untuk beberapa hari akan datang sebelum hujan diramal turun.

Jelas agensi itu, monsun barat daya dijangka bermula pada minggu pertama bulan Jun menyebabkan suhu kekal tinggi lebih lama berbanding kebiasaan.

Ketika suhu mencecah 45 darjah Celcius di negeri Uttar Pradesh, beberapa kawasan lain dilaporkan terputus bekalan elektrik selama lebih 12 jam.

Situasi itu masih berlaku meskipun satu perintah dikeluarkan pada Mac lalu mengarahkan semua stesen janakuasa di negara itu beroperasi pada kapasiti penuh bagi mengurangkan insiden bekalan elektrik terputus.

Pegawai dari jabatan meteorologi menjangkakan gelombang haba melanda negeri itu berkemungkinan berterusan selama dua hari lagi.

Ratusan penduduk yang kecewa mengadakan protes di luar stesen janakuasa berhampiran Lucknow, selain berhimpun dengan menyekat sekitar pada hujung minggu.

“Disebabkan bekalan elektrik terputus, kami tidak dapat menggunakan penghawa dingin, kipas dan tiada bekalan air.

“Cuaca panas melampau menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan ini. Malah, gangguan bekalan elektrik juga menambah kesengsaraan kami ketika ini,” kata penduduk bernama Ramesh Gupta yang tinggal di Lucknow.

Menurut Ramesh, isteri dan anaknya terpaksa berehat di dalam kereta dengan enjin dihidupkan dan penghawa dingin dipasang agar bayi mereka berusia 9 bulan berhenti menangis dan tidur dengan selesa.

Cuaca panas ekstrem turut memaksa ramai penduduk di bandar itu mengurung diri di rumah.

“Kami seolah-olah dipenjara disebabkan cuaca yang terlampau panas sehingga menyebabkan tiada sesiapa mahu keluar,” kata penduduk bernama Sudhir Sehgal.

Dilaporkan, suhu pada sebelah malam juga semakin meningkat sehingga mengakibatkan lonjakan permintaan bagi bekalan elektrik untuk menggunakan alat penghawa dingin dan kipas.

Bulan dilanda musim panas seperti April, Mei dan Jun sentiasa panas di kebanyakan bahagian India sebelum hujan monsun membawa suhu lebih sejuk.

Namun, suhu menjadi lebih tinggi sejak dekad yang lalu.

Biasanya, ketika gelombang haba, republik ini turut mengalami krisis bekalan air yang teruk sehingga puluhan juta daripada jumlah 1.4 bilion penduduk mengalami kekurangan air.

Kajian dijalankan oleh kumpulan World Weather Attribution mendapati gelombang haba terburuk yang melanda beberapa bahagian di Asia Selatan bulan lalu adalah 30 kali ganda berisiko berlaku akibat perubahan iklim.

Cuaca panas ekstrem itu juga menyebabkan 13 orang meninggal dunia bulan lalu di Mumbai, sekali gus mendorong beberapa kawasan menutup semua sekolah selama seminggu. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya