Britain tawar gaji lumayan kepada guru warga asing

Britain tawar gaji lumayan kepada guru warga asing

PEGAWAI menjangkakan kira-kira 300 hingga 400 guru fizik dan bahasa dari luar negara akan menerima tawaran tersebut. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Warga asing kini ditawarkan bayaran tambahan sebanyak 10,000 pound (RM56,837) untuk bekerja sebagai guru di Britain dalam usaha mengisi kekosongan jawatan di sekolah negara itu.

Lapor Daily Mail, Kementerian Pendidikan Britain sudah mula menawarkan skim `bayaran penempatan semula antarabangsa’ kepada guru fizik dan bahasa dari luar negara bagi menampung perbelanjaan visa dan perpindahan mereka.

Memetik The Times, pegawai menjangkakan kira-kira 300 hingga 400 golongan itu akan menerima bayaran untuk bermula pada tahun akademik akan datang iaitu September ini.

Selain itu, kementerian juga merancang memperkenalkan peraturan baharu bagi memudahkan pengiktirafan kelayakan tenaga pengajar dari negara tertentu.

Ghana, India, Singapura, Jamaica, Nigeria, Afrika Selatan dan Zimbabwe dijangka memperoleh manfaat memandangkan kesemuanya dianggap mempunyai kaitan sejarah pendidikan dengan Britain selain gurunya juga berminat untuk bekerja di negara ini.

“Untuk mendapatkan status guru berkelayakan, mereka harus memiliki ijazah, latihan mengajar yang diiktiraf, sekurang-kurangnya pengalaman setahun bekerja dan kebolehan berbahasa Inggeris hingga ke peringkat sarjana muda.

“Di bawah peraturan semasa, guru diberikan visa untuk bekerja di Britain sekiranya mereka mempunyai tawaran kerja dan memperoleh gaji minimum berdasarkan peranan mereka sekurang-kurangnya 27,000 pound (RM153,447),” jelas laporan.

Dilaporkan, ratusan guru matematik, sains dan bahasa dijangka dibawa masuk menerusi skim itu pada tahun akademik akan datang.

Kementerian juga dijangka memperluaskan skim itu dengan menambah negara dan subjek lain sekiranya ia berjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya