Bantuan makanan Sudan dirompak - Utusan Malaysia

Bantuan makanan Sudan dirompak

SEORANG wanita pelarian Sudan duduk di sebelah trak WFO semasa pengedaran makanan di Bentiu, Sudan Selatan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Program Makanan Sedunia (WFP) menganggarkan bantuan makanan bernilai lebih AS$14 juta (RM62.1 juta) yang disediakan untuk golongan memerlukan di Sudan dirompak sejak pertempuran meletus bulan lalu.

BEKALAN WFP DIROMPAK

Pengarah Negara WFP, Eddie Rowe menyifatkan rompakan di negara itu berleluasa dan beberapa lagi laporan baharu kecurian bekalan yang disediakan badan itu sedang disiasat.

“Kami menganggarkan hampir 17,000 tan metrik dirompak dari gudang kami, manakala yang lain dari kenderaan yang membawa bekalan.

“Jumlah tersebut mencecah kira-kira 14 juta dolar AS (RM62.1 juta) hanya untuk kos makanan. Hampir setiap hari kami menerima laporan mengenai rompakan baharu,” katanya melalui pautan video di Port Sudan.

Komen Rowe dibuat sehari selepas Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths merayu pihak yang bertelagah di Sudan untuk memastikan laluan selamat bagi bantuan kemanusiaan dan kakitangan sukarelawan.

Konflik di Sudan memaksa kira-kira 100,000 orang melarikan diri ke negara jiran dan menghalang penghantaran bantuan ke negara yang satu pertiga penduduknya sudah bergantung kepada bantuan kemanusiaan.

Rowe berkata, WFP perlu membeli lebih banyak bekalan makanan dengan segera untuk memenuhi keperluan rakyat Sudan.

“Kami tahu jika kami tidak mendapatkan komoditi sekarang, kami akan kehabisan stok dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

“Kami sudah pun memulakan kerjasama dengan kumpulan penderma untuk mempercepatkan penghantaran bantuan ke sini dan mencari laluan-laluan selamat untuk mengedarkannya,” katanya.

UNHCR RAYU DANA TAMBAHAN

Agensi pelarian PBB menjangkakan aliran lebih 860,000 pelarian Sudan dan badan itu memerlukan dana bantuan berjumlah lebih AS$445 juta (RM1.9 bilion) untuk menampung penduduk yang dipindahkan sehingga Oktober.

UNHCR dalam satu kenyataan berkata, Pelan Tindak Balas Pelarian Serantau untuk Sudan yang dibentangkan kepada penderma Khamis lalu, meliputi sokongan segera di Chad, Sudan Selatan, Mesir, Ethiopia dan Republik Afrika Tengah.

Pelan itu dibangunkan dengan kerjasama 134 rakan kongsi, termasuk agensi PBB, NGO kebangsaan dan antarabangsa serta organisasi masyarakat sivil.

“Situasi kemanusiaan di dalam dan sekitar Sudan sangat tragis. Terdapat kekurangan makanan, air, bahan api, akses terhad kepada pengangkutan dan komunikasi, ditambah pula dengan harga barang yang melambung tinggi.

“UNHCR dan rakan kongsi mempunyai pasukan kecemasan dan sedang membantu pihak berkuasa dengan sokongan teknikal, mendaftarkan ketibaan, menjalankan pemantauan perlindungan dan mengukuhkan penerimaan untuk memastikan keperluan mendesak dipenuhi.

 “Ini hanyalah satu permulaan. Lebih banyak bantuan diperlukan segera,” kata Penolong Pesuruhjaya Tinggi Operasi UNHCR, Raouf Mazou.

UNHCR berkata, angka 860,000 itu adalah anggaran kasar untuk perancangan kewangan dan operasi.

“Sudan membentuk kira-kira 580,000 daripada jumlah itu sementara selebihnya melibatkan 235,000 pelarian yang sebelum ini ditaja oleh Sudan namun terpaksa pulang dalam keadaan sukar dan 45,000 pelarian dari negara lain yang dahulunya ditempatkan di Sudan,” jelas kenyataan itu.

Kebanyakan pelarian mungkin tiba di Mesir dan Sudan Selatan dalam masa terdekat.

Lebih 330,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di Sudan akibat pertempuran antara kumpulan tentera.

Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, sejak bermulanya pertempuran pada 15 April lalu, sekurang-kurangnya 550 orang terbunuh dan lebih 5,000 lagi cedera.

Perselisihan faham sudah tercetus sejak beberapa bulan lalu berhubung integrasi Pasukan Sokongan Pantas (RSF) ke dalam Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) yang merupakan syarat utama perjanjian peralihan Sudan dengan kumpulan politik.

Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021, apabila tentera memecat kerajaan peralihan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat dalam satu tindakan yang dikecam oleh kumpulan politik sebagai rampasan kuasa.

Tempoh peralihan Sudan, yang bermula pada Ogos 2019 selepas penyingkiran Presiden, Omar al-Bashir dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024.-REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya