NUNUKAN: Hujan lebat yang melanda sejak seminggu lalu menyebabkan paras air Sungai Sembakung melimpah sehingga mencetuskan banjir di tiga perkampungan di Nunukan, Kalimantan Utara.
Banjir yang berlaku di kawasan sempadan Indonesia-Malaysia itu didakwa berasal dari Sungai Talangkai di Sepulut, Sabah.
Banjir itu kemudiannya mengalir ke Sungai Pampangon dan seterusnya ke Sungai Lagongon ke Pagalungan di Sabah.
Dari situ, air banjir mengalir ke Indonesia menerusi Sungai Labang, Sungai Pensiangan dan Sungai Sembakung.
Jurucakap Badan Pencegahan Bencana Daerah (BPBD) Nunukan, Armansyah berkata, ‘banjir kiriman Malaysia’ itu sudah menjejaskan tiga perkampungan iaitu Desa Atap, Desa Tagul dan Desa Manuk Bungkul.
“Ketinggian paras sungai ketika ini adalah 4.35 meter dan berdasarkan laporan akhir, berlaku lagi peningkatan sebanyak 15 meter.
“Keadaan itu menyebabkan penduduk di kawasan yang terjejas perlu menaiki perahu untuk melakukan aktiviti harian,” katanya.
Selain itu, banjir tersebut menyebabkan sejumlah infrastruktur awam dinaiki air.
Armansyah turut menyatakan, bencana banjir di Sembakung semakin kerap berlaku iaitu tiga kali dalam setahun.
“Sebelum ini, banjir kiriman Malaysian hanya berlaku setahun sekali dan kami percaya aktiviti menebang hutan yang berlaku di kedua-dua negara menjadi antara punca banjir semakin kerap berlaku.
“Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan sudah merancang untuk memindahkan penempatan penduduk di tepi sungai ke kawasan lain bagi mengelakkan insiden banjir,” ujarnya.