KIGALI: Sekurang-kurangnya 130 orang maut selepas banjir dan tanah runtuh melanda wilayah utara dan barat Rwanda, lapor pihak berkuasa.
Lapor BBC, hujan melanda pada waktu malam ketika penduduk sedang tidur, menyebabkan ramai yang tidak sempat menyelamatkan diri.
Gabenor, François Habitegeko berkata, ratusan kehilangan tempat tinggal selepas rumah-rumah runtuh menghempap penduduk.
Ramai turut terperangkap selepas jalan utama di kawasan itu tidak boleh digunakan akibat tanah runtuh.
Kerajaan Rwanda menyediakan tempat perlindungan untuk penduduk di sekolah dan bangunan lain, namun tiada angka rasmi dikeluarkan berkaitan jumlah sebenar rakyat yang terjejas akibat bencana terbabit.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarga dan orang tersayang mangsa tanah runtuh dan banjir yang berlaku di wilayah barat, utara dan selatan.
“Kami melakukan segala-galanya mengikut kemampuan kami dalam menangani situasi sukar ini,” kata Presiden Rwanda, Paul Kagame.
Agensi Penyiaran Rwanda (RBA) memberitahu, kebanyakan kematian berlaku di wilayah barat yang bersempadan dengan Tasik Kivu. -AGENSI