MOGADISHU: Lebih 250,000 penduduk Somalia terpaksa berpindah mencari tempat perlindungan selepas kediaman mereka musnah akibat banjir yang menenggelamkan bandar Beledweyne.
Lebih buruk lagi, tebing Sungai Shabelle di tengah Somalia turut melimpah sehingga menyebabkan bandar itu kelihatan seolah-olah sebuah lautan.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Somalia, banjir di Beledweyne saja menyebabkan lebih 245,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Lebih menyedihkan, banjir di Somalia berlaku ketika negara itu sedang berdepan kemarau paling teruk dalam tempoh empat dekad lalu.
Menurut penduduk tempatan, bencana alam itu turut menyebabkan sekolah dan hospital di Beledweyne, iaitu ibu kota wilayah Hiraan, ditutup sementara.
Seorang penduduk, Ahmed Nur berkata, Beledweyne kini menjadi seperti lautan.
“Hanya bumbung rumah yang kelihatan. Kami menggunakan bot kecil dan traktor untuk menyelamatkan orang ramai,” katanya.
Pada mulanya, Nur yang tinggal bersama keluarga di pinggir bandar bersyukur kerana hujan mengakhiri tempoh kemarau di situ, namun tidak menyangka keadaan akan bertukar menjadi seburuk itu.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Halima Abdullah, mengakui akan berpindah ke perkampungan lebih jauh, dengan menyifatkan Beledweyne sudah tidak lagi wujud.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 43,000 penduduk terkorban akibat kemarau, yang diburukkan dengan keganasan serta lonjakan harga makanan ekoran perang di Ukraine.
Menurut pejabat kemanusiaan PBB (OCHA), banjir menjejaskan lebih 460,000 orang di seluruh negara dan membunuh 22 orang sejak Mac lalu.
OCHA melalui laporannya minggu lalu, menjelaskan proses pemulihan kesan daripada kemarau akan mengambil masa yang lama. – REUTERS