BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang wanita yang disyaki membunuh 12 rakan dan kenalannya dengan meracun mereka menggunakan sianida.
Lapor BBC, Sararat Rangsiwuthaporn ditahan di Bangkok kelmarin berikutan siasatan terbaharu mengenai kematian seorang rakan wanitanya awal bulan ini.
Polis berkata, mereka percaya Sararat turut membunuh 11 yang lain termasuk bekas teman lelakinya untuk mendapatkan wang.
Dua minggu lalu, wanita itu mengembara bersama rakannya ke wilayah Ratchaburi di barat Bangkok dan mengambil bahagian dalam upacara keagamaan Buddha di sebuah sungai.
Tidak lama selepas itu, rakannya, Siriporn Khanwong rebah dan meninggal dunia di tebing sungai.
Kesan sianida ditemui dalam tubuh mangsa semasa bedah siasat sementara telefon, beg tangan serta wangnya berjumlah 300,000 baht (RM39,100) hilang semasa mayat ditemui.
Pihak berkuasa berkata, pembunuhan bermula sekitar Disember 2020 dan mangsa lain termasuk bekas pasangan Sararat serta dua pegawai polis didakwa meninggal dunia dengan cara yang sama.
Timbalan Ketua Polis Negara, Surachate Hakparn berkata, mangsa ke-10 terselamat selepas memuntahkan racun tersebut.
Mangsa yang terselamat berkata, dia berasa sesak nafas, hilang deria dan lemah anggota badan selepas mengambil pil yang ditawarkan oleh Sararat di sebuah pusat beli-belah di Kanchanaburi.
Wanita itu dilaporkan meminjamkan wang berjumlah 250,000 baht (RM32,584) kepada suspek sebelum itu.