Wanita kulit hitam perlu saring kanser awal

Wanita kulit hitam perlu saring kanser awal

WANITA sedang melintas jalan sambil membawa belon di Louisville, Kentucky. - AFP   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Satu kajian baharu mengenai kematian akibat kanser payudara menimbulkan persoalan sama ada wanita kulit hitam perlu melakukan saringan pada usia yang lebih awal.

Sekumpulan penyelidik antarabangsa berpendapat ujian klinikal mungkin diperlukan untuk meneliti sama ada garis panduan pemeriksaan harus mengesyorkan golongan itu menjalani saringan pada usia lebih muda iaitu sekitar 42 tahun dan bukannya 50 tahun. 

Lapor CNN, pasukan penyelidik itu mengutarakan pandangan menerusi kajian yang disiarkan dalam Jurnal JAMA Network Open, semalam. 

Meskipun golongan itu mempunyai kadar insiden kanser payudara empat peratus lebih rendah berbanding wanita kulit putih, namun kadar kematian akibat penyakit itu mencatatkan 40 peratus lebih tinggi dalam kalangan wanita kulit hitam. 

“Mesej yang kami ingin sampaikan kepada pakar perubatan dan pembuat dasar di Amerika Syarikat (AS) adalah mudah.

“Pengamal perubatan dan ahli radiologi harus mempertimbangkan aspek kaum dan etnik apabila menentukan umur individu untuk menjalani saringan kanser payudara,” kata pengarang kajian, Dr, Mahdi Fallah.

Selain itu, Mahdi berkata, pembuat dasar kesihatan juga boleh mempertimbangkan menggunakan pendekatan bersesuaian risiko untuk saringan kanser payudara.

Jelas beliau, langkah itu bertujuan menangani jurang perbezaan kaum dalam kes kematian kanser payudara.

“Ia terutamanya kematian sebelum umur saringan populasi yang disyorkan,” katanya.

Dilaporkan, Pasukan Petugas Perkhidmatan Pencegahan Penyakit AS mengesyorkan saringan dwitahunan bagi wanita pada usia 50 tahun.

Namun, banyak pihak termasuk Persatuan Kanser Amerika dan Klinik Mayo menegaskan bahawa wanita mempunyai pilihan untuk melakukan saringan melalui pemeriksaan mamogram setiap tahun seawal umur 40 tahun. 

Sementara itu, pasukan penyelidik dari China, Jerman, Sweden, Switzerland dan Norway menganalisis data membabitkan 415,277 wanita di AS yang meninggal dunia akibat kanser payudara dari tahun 2011 hingga 2020.

Ketika mengkaji data mengikut kaum, etnik dan umur, mereka mendapati kadar kematian kanser payudara dalam kalangan wanita berumur 40 tahun adalah 27 kes setiap 100,000 individu setahun bagi golongan kulit hitam.

Jumlah itu melebihi daripada 15 kematian dicatatkan bagi setiap 100,000 individu dalam kalangan wanita kulit putih dan 11 kematian setiap 100,000 wanita orang asli AS, Alaska, Hispanik dan Asia atau Kepulauan Pasifik.     

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN