KHARTOUM: Tiada tanda-tanda bahawa dua pihak yang bertelagah di Sudan bersedia untuk berunding secara serius bagi menamatkan pertempuran di negara itu, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ketika gencatan senjata selama 72 jam diadakan, pertempuran bersenjata dilaporkan masih tercetus di beberapa lokasi strategik di negara itu termasuk ibu kota Khartoum.
Perkara itu dimaklumkan Wakil PBB ke Sudan, Volker Perthes ketika berucap melalui pautan video dari Pelabuhan Sudan di timur negara itu, di mana kakitangan PBB dan pejabat kedutaan beberapa negara lain menempatkan semula beberapa kakitangan mereka.
ENGGAN MENGALAH
Beliau memaklumkan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di New York City bahawa Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) masing-masing percaya mereka mampu beroleh kemenangan.
“Masih belum ada tanda yang jelas kedua-duanya bersedia untuk berunding dengan serius. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua puak berpendapat mereka mampu mengecap kemenangan ketenteraan ke atas pihak yang satu lagi. Mereka sudah salah perhitungan.
“Kami juga mendengar laporan tentang pertempuran dan pergerakan tentera yang masih berlanjutan. Hanya beberapa kawasan yang mematuhi gencatan senjata yang dibuat sejak Selasa,” katanya.
Perthes juga mengecam tindakan anggota kedua-dua puak tersebut yang langsung tidak menghiraukan undang-undang peperangan dan norma kemanusiaan apabila berterusan menjadikan Khartoum sebagai zon perang sejak pertempuran meletus pada 15 April lalu.
Konflik tersebut bukan sahaja menyebabkan ratusan terkorban dan ribuan cedera, malah turut menyaksikan infrastruktur awam diserang termasuk hospital.
“Kedua-dua pihak yang bertelagah tidak mengendahkan undang-undang dan norma perang. Mereka menyerang kawasan padat penduduk tanpa memikirkan orang awam, hospital dan kenderaan yang memindahkan mangsa-mangsa yang cedera dan sakit.
“Pertempuran itu telah mencipta malapetaka kemanusiaan dengan orang awam terpaksa menanggung beban,” tegasnya.
Kawasan kediaman di Khartoum bertukar menjadi medan perang di mana serangan udara serta ratusan tembakan senjata api, kereta kebal dan meriam dari pelbagai arah membunuh sekurang-kurangnya 459 orang dan mencederakan lebih 4,000 yang lain.
Bekalan elektrik dan air turut terputus sementara pengagihan keperluan asas terjejas teruk, sekali gus memburukkan lagi keadaan negara itu ketika satu pertiga daripada 46 juta penduduknya bergantung kepada bantuan makanan.
PERTEMPURAN DIKHUATIRI MEREBAK
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyifatkan keganasan dan huru-hara di Sudan amat menyayat hati dan memberi amaran bahawa pertempuran boleh merebak ke negara lain di rantau itu.
“Sudan bersempadan dengan tujuh negara yang semuanya turut terlibat dalam konflik atau pergolakan awam yang serius sejak sedekad lalu.
“Pergelutan kuasa di Sudan bukan sahaja meletakkan masa depan negara itu dalam bahaya. Ia seolah-olah menyalakan fius yang boleh meletup merentasi sempadan hingga menyebabkan penderitaan besar selama bertahun-tahun dan membantutkan pembangunan untuk beberapa dekad,” ujarnya.
Walaupun ketika gencatan senjata, bunyi tembakan dan letupan boleh didengari selepas waktu tengah malam di bandar Omdurman di seberang Sungai Nil di mana tentera menggunakan dron untuk menyasarkan kedudukan RSF.
Tentera SAF juga menggunakan dron untuk cuba mengusir pejuang dari loji penapisan bahan api di Bahri, bandar ketiga di pertemuan Sungai Nil Biru dan Nil Putih.-AGENSI