Suntikan Botox bantu legakan kesakitan saraf - Utusan Malaysia

Suntikan Botox bantu legakan kesakitan saraf

SUNTIKAN Botox yang diubahsuai mampu melegakan kesakitan saraf jangka panjang tanpa kesan sampingan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pasukan saintis dari barat mendapati, suntikan Botox yang popular dalam prosedur kosmetik selebriti-selebriti terkenal kini boleh digunakan untuk melegakan kesakitan jangka panjang bagi pesakit yang mengalami kecederaan saraf.

Lapor Sky News, kira-kira tujuh daripada setiap 100 orang di United Kingdom (UK) mengalami kesakitan saraf kronik tetapi rawatan semasa sangat terhad kerana kesan sampingannya yang berbahaya.

Justeru, penyelidik dari UK dan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan, mereka berjaya menemukan penyelesaian dengan mengubah suai protein dalam suntikan Botox yang sebelum ini hanya digunakan sebagai pelemas otot untuk melicinkan garis dan kedutan di wajah.

Sebelum ini, suntikan tersebut mempunyai protein diperbuat daripada toksin Botulinum yang dihasilkan oleh bakteria clostridium botulinum namun bahan tersebut berbahaya dalam kuantiti yang banyak dan boleh melumpuhkan otot buat sementara waktu.

Tetapi pasukan penyelidik itu berkata, mereka berjaya menambah baik Botox untuk memberikan kelegaan kesakitan sehingga tempoh lima bulan tanpa menyebabkan lumpuh atau  kesan sampingan yang lebih buruk.

Penyelidikan yang belum diuji ke atas manusia itu diterbitkan dalam jurnal Life Science Alliance.

Profesor Sekolah Biosains Universiti Sheffiel, Bazbek Davletov yang mengetuai kajian itu berharap ubat yang direka bentuk itu dapat meningkatkan kualiti hidup berjuta-juta orang di seluruh dunia yang mengalami kesakitan kronik pada saraf.

Penyelidikan yang dibiayai oleh Majlis Penyelidikan Perubatan UK (MRC) itu, dijalankan oleh saintis dari Universiti Sheffield, Reading, University College London (UCL), dan syarikat permulaan biofarmaseutikal yang berpangkalan di AS, Neuresta.

Neuresta kini sedang berusaha untuk menyesuaikan Botox kepada beberapa keadaan neurologi yang berbeza menggunakan teknik sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN