PHOENIX: Replika sudu merah gergasi yang dicuri dari restoran aiskrim dan makanan segera Dairy Queen di Arizona hingga mencetuskan misteri di media sosial akhirnya ditemukan di kawasan padang sekolah di bandar itu hasil bantuan aplikasi Pokémon GO.
Lapor Huffpost.com, Michael Foster, 52, sedang bermain permainan tersebut di telefon bimbitnya apabila dia ternampak sudu berukuran 4.5 meter itu di belakang pagar yang mengelilingi padang besbol sebuah sekolah menengah Phoenix, kira-kira 3 kilometer dari lokasi asalnya.
“Perkara pertama yang saya lakukan ialah menghantar gambar kepada isteri saya dan dia terus menyuruh saya menghubungi polis,” kata Foster.
Pegawai Polis Phoenix, Sarjan Brian Bower berkata, detektif di bandar itu masih meneruskan usaha mencari suspek yang mencuri sudu itu dan pihaknya menggalakkan orang ramai untuk tampil jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes kecurian aneh itu.
Polis Phoenix pada hujung minggu mengeluarkan rakaman pengawasan pada 25 Mac lalu yang menunjukkan dua lelaki dan seorang wanita mengeluarkan sudu itu dan meletakkannya di atas katil rata yang besar yang disambungkan ke trak pikap.
Pemilik rantaian Dairy Queen, pasangan Raman dan Puja Kalra berkata, kos pembuatan dan pemasangan replika sudu merah ikonik jenama itu mencecah AS$7,000 (RM30,820).
Mereka terpaksa menggunakan strategi kreatif seperti mencetak baju-T untuk kakitangan tertulis slogan ‘Di mana sudu saya?’ dalam usaha mendapatkan semula sudu gergasi itu.
Raman mengakui sangat lega mendapat berita penemuan sudu itu dan turut memaklumkan di media sosial ketika dalam perjalanan untuk mengambil semula satu-satunya replika sudu gergasi di rantaian Dairy Queen yang sering menjadi lokasi bergambar popular di Instagram.
“Kami gembira kerana sudu kami sudah dijumpai dan kami tidak sabar untuk mencipta lebih banyak senyuman dan cerita menarik dengan sudu yang kini sudah terkenal di serata dunia,” katanya.
Foster malah turut mengakui gembira membantu pasangan itu menemukan replika sudu itu dan tidak mengharap sebarang balasan walaupun Raman berjanji menawarkan ais krim dan hidangan percuma kepada sesiapa yang membantu mereka menjumpai semula sudu itu.