Sudan semakin bergolak - Utusan Malaysia

Sudan semakin bergolak

TENTERA Arab Saudi membawa keluar kanak-kanak dan orang awam yang melarikan diri dari konflik di pelabuhan Sudan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Angkatan bersenjata Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) membawa keluar kakitangan kedutaan mereka dari Sudan, ketika negara-negara lain bergegas menyelamatkan rakyat masing-masing dari Khartoum selepas pertempuran antara puak tentera dilihat bertambah buruk. 

Pertempuran yang berterusan lebih lapan hari antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mencetuskan krisis kemanusiaan, membunuh 420 orang, mencederakan 3,700 yang lain dan memerangkap jutaan rakyat Sudan tanpa akses kepada perkhidmatan asas.

Perancis berkata, sebuah pesawat membawa kira-kira 100 orang termasuk delegasi Kesatuan Eropah (EU) di Khartoum bersama warganegara lain berlepas ke Djibouti, dan pesawat kedua dengan jumlah yang sama akan berlepas tidak lama lagi.

RAKYAT KECEWA

Ketegangan memuncak selepas kumpulan RSF dilaporkan merompak konvoi Qatar yang sedang menuju ke Pelabuhan Sudan sementara seorang warga Iraq terbunuh semasa pertempuran berasingan di negara itu dan Mesir turut memaklum salah seorang diplomatnya cedera.

Usaha untuk mengeluarkan penduduk asing mengecewakan segelintir rakyat Sudan yang merasakan puak yang bertempur itu kurang mengambil berat tentang keselamatan penduduk tempatan.

“Melihat warga asing pergi membuat saya kecewa kerana saya melihat ada beberapa kumpulan yang dibantu oleh tentera dan RSF, sementara kami rakyat Sudan sendiri terus dibedil tanpa belas kasihan,” kata penduduk Khartum, Alsadig Alfatih yang sempat melarikan diri menuju ke Mesir.

Tentera Sudan berkata, pihaknya, bekerjasama dengan AS, UK, Jerman dan Perancis dalam operasi pemindahan di pangkalan udara Wadi Sedna di utara Khartoum sementara operasi Qatar dan Jordan dijalankan melalui darat ke Pelabuhan Sudan.

Kanada juga sudah mengeluarkan diplomatnya manakala Mesir, India, Nigeria dan Libya turut merancang usaha segera untuk membawa pulang rakyat mereka.

Pertempuran tercetus di Khartoum dan bahagian lain di negara itu sejak 15 April, empat tahun selepas otokrat yang sudah lama memerintah, Omar al-Bashir digulingkan.

Tentera SAF dan RSF bersama-sama melakukan rampasan kuasa pada 2021 tetapi gagal semasa rundingan untuk mengintegrasikan kedua-dua kumpulan dan membentuk kerajaan awam.

Pegawai AS berkata, pasukan khasnya membawa keluar sekitar 100 orang Sabtu lalu dalam operasi yang mengambil masa hanya satu jam tanpa sebarang kecederaan.

GENCATAN SENJATA DILANGGAR

Kejatuhan Sudan secara tiba-tiba dalam peperangan mematahkan rancangan untuk memulihkan pemerintahan awam, membawa negara yang sudah dilanda kemiskinan itu ke ambang bencana kemanusiaan dan mengancam konflik yang lebih luas hingga menarik kuasa luar.

Di luar Khartoum, laporan mengenai keganasan terburuk datang dari Darfur, wilayah barat bersempadan dengan Chad.

Tentera SAF yang diketua Abdel Fattah al-Burhan dan RSF yang diterajui Mohamed Hamdan Dagalo atau dikenali sebagai Hemedti gagal mematuhi gencatan senjata yang dicapai hampir setiap hari, termasuk gencatan senjata selama tiga hari untuk cuti umum Aidilfitri yang bermula Jumaat lalu.

Rakaman video yang disiarkan semalam menunjukkan Hemedti berpakaian perang di tempat duduk penumpang trak pikap dikelilingi oleh tentera yang bersorak berhampiran Istana Presiden Khartoum.

Pertempuran berterusan di sekitar ibu pejabat tentera dan lapangan terbang Bahri yang ditutup sejak dua hari lalu di mana tentera melancarkan serangan di darat serta udara menyasarkan RSF, menyebabkan berpuluh-puluh terbunuh dan cedera.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Ghebreyesus mengecam serangan maut ke atas kemudahan kesihatan apabila paramedik, jururawat barisan hadapan dan doktor tidak dapat mengakses mangsa yang cedera.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya