Singapura nafi laporan warga asing kaya diberi kerakyatan - Utusan Malaysia

Singapura nafi laporan warga asing kaya diberi kerakyatan

PENDUDUK sedang berjalan di sebuah jambatan berlatar belakang Marina Bay di Singapura. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Kementerian Dalam Negeri Singapura menafikan laporan media kononnya seramai 3,500 warga asing berpendapatan tinggi diberi taraf kerakyatan republik itu pada tahun ini.

Lapor Channel News Asia, kementerian mengecam artikel berkenaan dan menyifatkannya sebagai `sangat mengelirukan dan tidak berasas’.

Minggu lalu, akhbar Cina, Lianhe Zaobao menyiarkan artikel wawancara ketua penyelidik New World Wealth, Andrew Amolls yang membuat dakwaan tersebut.

“Angka dipetik oleh laporan media itu adalah daripada seorang individu bekerja di firma penyelidikan swasta yang berpangkalan di Johannesburg, Afrika Selatan.

“Kami tidak tahu menahu bagaimana individu mahupun firma itu memperoleh angka berkenaan,” jelas kementerian itu. 

Dalam artikel itu, Amoll mendakwa antara 3,000 dan 3,500 individu berpendapatan tinggi dijangka menjadi warga Singapura pada 2023.

Malah, Amolls mendakwa kebanyakan golongan itu berasal dari China.

Akhbar itu yang memetik dakwaan Amoll menyatakan setiap individu berkenaan secara purata memiliki aset kekayaan sekurang-kurangnya AS$6 juta (RM26.73 juta) yang boleh dilaburkan.

Sementara itu, kementerian itu memaklumkan permohonan menjadi warganegara Singapura bagi 2023 `masih belum diputuskan lagi’.

Sebaliknya, kementerian menegaskan antara faktor dipertimbangkan dalam pemberian taraf kerakyatan termasuk manfaat kepada Singapura, perniagaan  diusahakan di negara ini, jumlah rakyat Singapura yang bekerja dan keupayaan individu itu menyesuaikan diri dalam persekitaran masyarakat.

“Selain itu, mereka juga harus memberi komitmen untuk menetap di negara ini,” jelas kementerian.

Laman sesawang Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menjelaskan penilaian permohonan itu dibuat berdasarkan hubungan keluarga pemohon dengan warga Singapura, sumbangan ekonomi, kelayakan, usia, profil keluarga dan tempoh pemastautin.

Beberapa media tempatan turut menyiarkan artikel wawancara itu dengan tajuk berita tertumpu pada ramalan 3,500 individu yang kaya raya menjadi warga Singapura.     

Kementerian itu menegaskan, memiliki kekayaan bersih yang tinggi sudah tentu tidak menjamin pemberian taraf kerakyatan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya