KHARTOUM: Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) mengumumkan bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 72 jam atas dasar kemanusiaan di Sudan yang kini dilanda pertempuran.
Bagaimanapun, penduduk di Khartoum dan Bahri melaporkan ibu negara Sudan dan beberapa lokasi lain masih terus dihujani insiden tembakan dan letupan sekali gus mengendahkan pelaksanaan gencatan senjata.
Menurut RSF, gencatan senjata itu berkuat kuasa 6 pagi (waktu tempatan) hari ini.
RSF menawarkan kemungkinan penangguhan konflik ketenteraan selama enam hari dengan tentera Sudan.
“Gencatan senjata ini bertepatan dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang penuh keberkatan.
“Koridor kemanusiaan akan dibuka bagi memindahkan rakyat dan memberi peluang untuk menyambut hari raya bersama keluarga,” kata RSF dalam satu kenyataan.
RSF memaklumkan pihaknya terpaksa mengambil tindakan demikian bagi `mempertahankan diri’ untuk menangkis apa yang disifatkannya sebagai cubaan rampasan kuasa.
Tambah RSF, pihaknya komited melaksanakan `gencatan senjata sepenuhnya’ sepanjang tempoh berkenaan.
Pertempuran sengit antara angkatan tentera Sudan dan RSF berlaku di sekitar ibu negara Khartoum dan di Darfur yang masih terkesan dengan konflik panjang berakhir tiga tahun lalu. – REUTERS