SEMARANG: Ribuan penduduk dan pegawai mengunjungi rumah terbuka yang diadakan Gabenor Jawa Tengah, yang juga calon Presiden Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Ganjar Pranowo di kediamannya di Tawangmangu kelmarin.
Malah lebih 6,000 penduduk dilaporkan sanggup menunggu lebih sejam untuk mendapatkan peluang bertemu dan bersalaman dengan Ganjar.
Difahamkan, kali terakhir Ganjar mengadakan rumah terbuka di kediaman tersebut yang juga rumah keluarganya ketika zaman kanak-kanak itu, pada tahun 2019.
Menurut Tribune News, ribuan penduduk sudah beratur panjang sejak pukul 8.00 pagi (waktu tempatan) di hadapan kediamannya selepas beliau diramal mempunyai peluang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024.
Ramai masyarakat sekitar tanpa mengira latar bangsa dan agama tidak melepaskan peluang bertemu empat mata dengan Ganjar yang dikatakan turut mendapat restu Presiden, Joko Widodo (Jokowi) sebagai pengganti tempatnya.
Ganjar dilahirkan di wilayah Karanganyar pada 28 Oktober 1968 dan sering membantu ibunya berniaga sejak kecil.
Rakan ibunya, Mamik, 62, yang turut menghadiri majlis itu berkata, dia amat mengenali zaman kanak-kanak Ganjar dan yakin beliau akan mengekalkan sikap sederhana walaupun jika berjaya menjadi Presiden.
“Hidup mereka agak susah dahulu dan saya tidak sangka Ganjar akan berjaya seperti sekarang. Tetapi saya yakin Ganjar seorang pemimpin yang baik dan boleh dipercayai. Sekarang sudah menjadi gabenor pun, beliau masih sangat sederhana.
“Ya, selamat maju jaya. Jika menjadi pemimpin, saya berharap beliau akan tetap menjadi seorang yang amanah dan sederhana. Tetap merendah diri dan menjadikan Indonesia lebih maju, bebas rasuah dan memakmurkan rakyat,” katanya.