JAKARTA: Produk makanan berupa ikan dan ayam dari Indonesia akan memasuki Arab Saudi yang membolehkan jemaah haji dari republik itu menggunakannya menjelang musim haji tahun ini.
Ketua Badan Pengawas Makanan dan Dadah Republik Indonesia (BPOM RI), Penny K. Lukito berkata, pihaknya melalui proses yang panjang untuk membawa produk makanan dalam negeri memasuki Arab Saudi bagi kegunaan jemaah haji Indonesia.
Ini kerana Arab Saudi menetapkan piawaian yang tinggi untuk membenarkan produk makanan memasuki negara itu terutamanya melibatkan keselamatan, jaminan kualiti serta mutu makanan.
Penny berkata, pihaknya juga sedang memantau produk ikan dan ayam yang disediakan untuk memasuki Arab Saudi kerana perlu mengekalkan kesegarannya.
“Usaha Kementerian Pertanian serta Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan untuk sentiasa mengekalkan kualiti produk ayam dan ikan yang segar memudahkan proses ini mendapat kelulusan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Penny menegaskan, BPOM sendiri akan melakukan pemeriksaan jaminan kualiti bagi setiap produk ikan akuakultur yang akan memasuki Arab Saudi.
“Dengan bantuan pemeriksaan ketat oleh BPOM dan jaminan kemudahan pengeluaran yang mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP) di peringkat antarabangsa, maka Arab Saudi akan meyakini pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak kami.
“Jadi sudah tentu akan meringankan beban pembekal dan pemain industri yang akan mengimport produk mereka ke Arab Saudi.
“Dengan kepercayaan yang telah dibina, kami berharap dapat membangunkan pengiktirafan antara kedua-dua negara supaya tidak perlu lagi pemeriksaan fizikal rutin dijalankan di masa akan datang,” katanya.
Jelasnya, beliau juga berusaha mengelak sebarang jangkitan pada produk ayam kerana Arab Saudi menetapkan semua produk ternakan mestilah bebas daripada penyakit terutamanya Avian Influenza atau selesema burung.-AGENSI