PARIS: Perancis mula membawa keluar rakyat dan kakitangan diplomatiknya yang terkandas di Sudan ketika konflik negara itu terus memuncak.
Proses evakuasi itu berlaku ketika pertempuran di Sudan memasuki minggu kedua.
Menurut Kementerian Luar Perancis dalam kenyataan, pihaknya sudah memulakan `operasi evakuasi rakyat’ dengan segera.
Jelas kementerian, warga Eropah dan rakyat dari `negara rakan sekutu’ akan turut dibantu dalam operasi berkenaan.
Bagaimanapun, kementerian itu tidak memperincikan butiran lanjut mengenai proses tersebut.
Sementara itu, seorang sumber diplomatik mendakwa angkatan tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) sudah `memberi jaminan keselamatan’ bagi membolehkan operasi itu dilaksanakan.
Jelasnya, kira-kira 250 warga Perancis tinggal di Sudan.
Pertempuran tercetus antara unit tentera ketua de facto, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan RSF yang dipimpin oleh Timbalan Ketua Sudan, Mohamed Hamdan Dagalo bermula pada 15 April lalu berhubung pertikaian mengenai rancangan integrasi RSF ke dalam pasukan tentera biasa.
Langkah itu merupakan syarat utama bagi perjanjian yang bertujuan memulihkan peralihan demokrasi Sudan selepas tentera menggulingkan bekas Presiden Omar al-Bashir pada April 2019 berikutan bantahan rakyat secara besar-besaran. – AFP