WASHINGTON: Penyanyi rap, Prakazrel atau Pras Michel dari kumpulan Fugees ketika memberi keterangan pembelaannya di Mahkmah Washington berkata, dia menerima AS$20 juta (RM88.629 juta) daripada pembiaya Malaysia, Jho Low untuk membantu lelaki dalam buruan itu mendapatkan gambar dengan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.
Lapor REUTERS, Michel berdepan dakwaan terlibat dengan konspirasi jenayah, lobi asing dan kewangan kempen kerana didakwa berkomplot dengan Jho Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran Obama dan bekas Presiden, Donald Trump.
Di hadapan juri di Washington, pemenang Anugerah Grammy itu berkata, Jho Low yang kini menjadi buruan yang dituduh menggelapkan AS$4.5 bilion (RM19.941 bilion) daripada dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak mengarahkannya untuk membuat sumbangan kempen dengan wang untuk gambar itu.
Michel berkata, dia menggunakan sebahagian daripada dana itu untuk tiga rakan menghadiri kutipan dana sebanyak AS$40,000 (RM177,267) satu plat untuk Obama.
Michel berkata, dia tidak tahu bahawa adalah tidak wajar untuk melakukan perkara berkenaan.
“Apabila anda menerima wang daripada Jho Low, anda menggunakannya untuk membuat sumbangan politik,” kata pendakwa raya persekutuan John Keller di Mahkamah Washington.
“Tidak,” jawab Michel.
“Sebaik sahaja dia memberi saya wang itu, itu adalah budi bicara saya bagaimana saya membelanjakan wang itu kerana ia adalah wang saya,” kata Michel ketika memberi keterangan dalam perbicaraan.
Beliau menyifatkan dana daripada Jho Low sebagai wang percuma.
Adalah haram bagi warga asing untuk menderma kepada kempen Pilihan Raya AS dan juga melanggar undang-undang untuk membayar orang lain untuk membuat sumbangan kempen.
Michel dituduh terlibat dengan Jho Low dalam tiga skim yang mana pendakwa raya mengatakan dia dibayar berjuta-juta dolar.
Pada skim yang pertama, pendakwa mendakwa bahawa Michel melanggar undang-undang Pilihan Raya Persekutuan dengan menyalurkan kira-kira AS$2 juta daripada Jho Low ke dalam tabung kempen Obama 2012 dan menutup sumber dana dengan menggunakan penderma straw (menggunakan nama orang lain).
Michel juga dituduh berusaha untuk meyakinkan Jabatan Kehakiman sewaktu era Trump untuk menggugurkan siasatan sivil dan jenayahnya terhadap Low berhubung skandal 1MDB dan cuba melobi AS bagi pihak China untuk menghantar ahli perniagaan China, Guo Wengui ke China.