KHARTOUM: Kesesakan bas sejauh beberapa kilometer di laluan sempadan Argeen berpunca daripada ribuan penduduk yang cuba melarikan diri dari Khartoum ke negara jiran ketika pertempuran antara puak tentera di Sudan bertambah buruk.
Argeen merupakan satu daripada dua lintasan utama yang terletak di sepanjang sempadan Mesir-Sudan.
Amat menyedihkan apabila kebanyakan penduduk termasuk golongan kanak-kanak, warga emas dan penghidap penyakit kronik terpaksa menunggu lama dalam keletihan dan kelaparan.
Malah, mereka juga terpaksa menunggu di bawah cuaca panas terik tanpa makanan, bekalan air, tandas atau akses kepada penjagaan kesihatan asas sebelum merentas ke Mesir.
Ramai penduduk melarikan diri akibat trauma dengan serangan udara dan bedilan artileri yang terkena rumah dan bangunan lain, selepas pertempuran sengit meletus antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) sejak 15 April lalu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pertempuran itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 460 orang terkorban, lebih 4,000 cedera selain `menutup’ 60 peratus operasi hospital di ibu negara Sudan.
Golongan penduduk yang tidak mampu menanggung kos perjalanan ke sempadan negara jiran atau tidak sanggup menghadapi ketidaktentuan akibat pertempuran itu kekal terkandas di Khartoum dan beberapa bandar lain.
Bagaimanapun, orang awam yang berkerumun di rumah mereka menjadi semakin terdesak dengan bekalan makanan yang semakin berkurangan, bekalan elektrik terputus, dan kekurangan bekalan air.
Memetik laporan Al Jazeera, kebanyakan penduduk yang melarikan diri mendakwa berdepan masalah kelewatan untuk mendapatkan visa mereka diproses serta kekurangan bantuan antarabangsa.
Perkara itu turut diakui oleh seorang penduduk warga Sudan-Mesir bernama Yousra Abdelmoneim, 27, yang merentas ke Mesir selepas menempuh perjalanan selama tiga hari dari Khartoum.
“Situasi ini amat mengejutkan dan saya bimbang masalah itu menjadi semakin teruk dari hari ke hari.
“Tiada perkhidmatan penjagaan kesihatan asas, bantuan kemanusiaan antarabangsa serta akses kepada makanan atau bekalan air percuma,” katanya.
TIADA BANTUAN
Yousra berkata, dia bersama ahli keluarganya merentas ke Mesir selepas menunggu lebih 24 jam di sempadan.
Malah, dakwanya, keluarganya terpaksa membayar ratusan dolar untuk sampai ke Wadi Karkar, stesen bas berhampiran Aswan yang terletak di selatan Mesir.
“Saya tak nampak mana-mana organisasi bantuan antarabangsa di sebelah sempadan Sudan, hanya kelihatan sebuah klinik kesihatan bergerak milik Bulan Sabit Merah Mesir di seberang sana,” katanya.
Menurut Yousra, terdapat sebuah kedai kecil menjual air dan teh di sebelah kawasan Mesir namun mereka hanya menerima mata wang negara itu.
“Tiada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa lain, trak atau kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi makanan atau rawatan perubatan segera,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk mendakwa dia bersama keluarganya merupakan antara ribuan orang yang ketika ini terkandas di sempadan Mesir.
Menurut Fadi Atabani, kebanyakan pemandu menuntut bayaran sebanyak AS$40,000 (RM178,425) untuk menyewa bas bagi membolehkan penduduk merentas ke Mesir.
“Beribu-ribu orang terkandas di sini dan tiada tempat tinggal. Ramai orang berteduh di sekolah,” katanya dari bandar sempadan Wadi Halfa sepertimana dilaporkan BBC.
Dilaporkan, hanya penduduk yang menaiki bas dengan permit khas dibenarkan merentas sempadan.