PBB mahu rundingan tangani konflik di Sudan

PBB mahu rundingan tangani konflik di Sudan

ANTONIO GUTERRES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertempuran di Sudan yang memasuki hari ketiga semalam di antara pasukan tentera dan separa tentera iaitu Rapid Support Forces (RSF) semakin parah dengan hampir 200 rakyat terbunuh dan lebih 1,800 tercedera. 

Lapor Al Jazeera, pertempuran tercetus di antara unit tentera ketua de facto, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan komander RSF, Mohamed Hamdan Dagalo sehingga mengakibatkan penduduk tidak dapat keluar rumah selain terpaksa berdepan gangguan elektrik dan krisis air.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengutuk sekeras-kerasnya pertempuran berkenaan. 

Beliau juga menggesa pihak yang bertelagah segera menghentikan pertempuran dan memulakan rundingan bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

Menurut Guterres, beliau sudah menggesa pihak yang bertelagah untuk memulihkan keadaan secara aman walaupun Abdel Fattah dan Mohamed Hamdan tidak berhasrat untuk mengadakan rundingan damai.  

“Situasi itu menyebabkan kehilangan nyawa yang mengerikan termasuk ramai orang awam.

“Malah, konflik berterusan akan memburukkan lagi keadaan yang sudah tidak menentu di negara itu.

“Justeru, saya menggesa semua pihak menggunakan pengaruh mereka demi keamanan untuk menyokong usaha menamatkan keganasan, memulihkan keadaan dan kembali ke laluan peralihan,” katanya ketika berucap di Forum Pembiayaan Pembangunan di New York.

Pertempuran itu sekali lagi mengganggu peralihan Sudan ke arah demokrasi selepas penyingkiran Presiden Omar al-Bashir pada 2019.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 185 orang terbunuh dan lebih 1,800 lagi cedera dalam pertempuran selama tiga hari di Sudan.

Kedua-dua pihak mendakwa berjaya menguasai beberapa fasiliti penting di lokasi strategik namun tiada maklumat mengenai jumlah anggota tentera mahupun RSF yang terbunuh. 

Sementara itu, Guterres berkata, situasi kemanusiaan di Sudan dalam keadaan amat teruk dan kini menjadi malapetaka.

Beliau menegaskan semula `sokongan penuh’ PBB terhadap usaha rakyat negara itu bagi memulihkan peralihan demokrasi dan membina masa depan yang aman dan selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya