NASA perkenal kru angkasawan sertai misi kelilingi bulan

NASA perkenal kru angkasawan sertai misi kelilingi bulan

PENTADBIR NASA, Bill Nelson memperkenalkan barisan angkasawan misi Artemis II dalam sidang akhbar di lapangan terbang Ellington di Houston, Texas. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) mendedahkan nama empat angkasawan yang terlibat dalam misi penghantaran manusia ke bulan pada tahun depan.

Barisan angkawasan itu termasuk wanita pertama dan lelaki kulit hitam pertama dalam misi ke bulan.

Misi dikenali sebagai Artemis II yang dijadualkan pada November 2024 akan membawa empat kru angkasawan mengelilingi bulan tanpa membuat sebarang pendaratan di sana.

Christina Koch, angkasawan NASA yang memegang rekod penerbangan angkasa lepas paling lama oleh wanita, ditugaskan sebagai pakar misi dalam misi Artemis II.

Juruterbang NASA, Victor Glover pula ditugaskan menerbangkan kapal angkasa Orion yang akan mengelilingi bulan, sekali gus bakal menjadi lelaki kulit hitam pertama terbabit dalam misi ke bulan.

Dua lagi kru angkasawan veteran NASA terdiri daripada Reid Wiseman, 47, merupakan komander misi dan Jeremy Hansen, 47, bekas juruterbang pesawat pejuang yang kini berkhidmat dengan Agensi Angkasa Lepas Kanada.

Kru angkasawan membabitkan tiga warga Amerika Syarikat (AS) dan seorang dari Kanada itu bakal menjadi angkasawan pertama yang mengembara jauh ke angkasa lepas sejak misi bersejarah Apollo berakhir pada 1972.

Artemis II bertujuan untuk mengembalikan manusia ke bulan buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun sebelum pelancaran misi ke Marikh. 

Dilaporkan, tiga angkasawan warga AS pernah dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) manakala Hansen pula bakal mengembara ke angkasa buat kali pertama.

Pentadbir NASA, Bill Nelson memperkenalkan empat angkasawan itu dalam satu majlis diadakan di Pusat Angkasa Lepas Johnson di Houston. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya