WASHINGTON: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan ( NASA) mendedahkan penemuan terbaharu di ruang angkasa lepas iaitu kewujudan lubang hitam.
Lubang hitam itu dilihat dalam bentuk seolah-olah seekor ‘raksasa halimunan yang terlepas’.
Lubang tersebut dikatakan boleh menembusi alam semesta dengan begitu pantas dan mampu menempuh perjalanan sejauh 382,499 kilometer dari bumi ke bulan dalam masa 14 minit sahaja jika berada dalam sistem suria.
Para saintis menggariskan penemuan kemungkinan lubang hitam dengan berat seakan 20 juta matahari dalam kajian yang diketuai oleh Universiti Yale.
Lubang tersebut dilaporkan meninggalkan jejak bintang di belakangnya berukuran 200,000 tahun cahaya, dua kali diameter bima sakti.
“Kami berpendapat ia adalah kebangkitan di sebalik lubang hitam di mana gas menyejuk dan dapat membentuk bintang.
“Jadi, kita sebenarnya sedang melihat pembentukan bintang yang mengekori lubang hitam,” kata Pengarang Utama Kajian, Profesor Pieter van Dokkum.
Imej dari teleskop angkasa Hubble menunjukkan bahawa lubang hitam terletak pada satu hujung lajur, yang terbentang kembali ke galaksi induknya.
Hujung paling luar lajur itu mengandungi simpulan oksigen terion yang sangat terang, yang mungkin berlaku kerana hasil haba daripada gerakan lubang hitam.
“Gas di hadapannya akan dikejutkan kerana impak supersonik, kelajuan sangat tinggi dari lubang hitam yang bergerak melalui gas. Bagaimana ia berfungsi sebenarnya tidak diketahui,” jelas van Dokkum.
Saintis berkata, mereka terjumpa lubang hitam itu semasa mengimbas imej pada teleskop Hubble NASA untuk mencari gugusan bintang globular di galaksi berdekatan.
Penyelidik percaya lubang hitam yang ‘melarikan diri’ itu terlepas setelah dua galaksi bergabung kira-kira 50 juta tahun lalu, menyatukan lubang hitam supermasif di pusat mereka.
Kemudian, apabila galaksi ketiga datang bersama dengan lubang hitamnya sendiri, ketiga-tiganya bercampur, membawa kepada konfigurasi huru-hara dan tidak stabil.