STOCKHOLM: Dalam percubaan luar biasa untuk mencipta rekod dunia, seorang lelaki Sweden berjaya membunyikan 46 sendi berbeza dalam badannya secara berturut-turut.
Menurut Rekod Dunia Guinness, Olle Lundin melakukan teknik membunyikan sendi bagi memecahkan rekod bunyian berterusan pada 40 sendi berbeza secara berturut-turut yang dicatatkan oleh Kamal Pokhrel dari Nepal pada Disember 2022.
Lundin membuat persiapan yang agak lama untuk memecahkan rekod dunia itu dan setiap hari selama sebulan, lelaki berusia 23 tahun itu berlatih membunyikan sendinya dalam urutan yang berbeza untuk menentukan susunan yang paling berkesan.
“Untuk memecahkan rekod dunia, saya membunyikan 46 sendi yang berbeza berturut-turut, termasuk di leher, belakang dan pergelangan kaki. Bagaimanapun, saya percaya saya boleh mencapai 60 jika semuanya berjalan dengan lebih sempurna dan kurang berasa tertekan,” katanya.
Rekod Dunia Guinness menyebut bahawa tubuh manusia mengandungi 360 sendi secara keseluruhan, bermakna terdapat banyak sendi yang belum dibunyikan Lundin dan rekod tersebut masih boleh dipecahkan.
“Sendi yang paling menyakitkan mungkin adalah yang lebih kecil, seperti sendi tengah pada jari tangan dan kaki. Selain itu, jangan lakukan apa-apa yang terlalu menyakitkan. Jika sendi tidak berbunyi apabila diregangkan atau dibengkokkan sepenuhnya, ia tetap tidak akan berbunyi walaupun anda menggunakan lebih banyak daya.
“Petua terakhir ialah kekal fleksibel untuk memudahkan anda melakukan pelbagai pergerakan yang lebih besar, sekali gus memberikan peluang yang lebih besar untuk membunyikan lebih banyak sendi,” dedah Lundin.
Bagi Lundin, memecahkan rekod dunia yang sangat kompetitif itu terasa agak sukar kerana beliau merupakan individu kelima yang berjaya selepas rekod itu pertama kali dicipta oleh James Syiemior dari India pada tahun 2003 dengan catatan 26 bunyian sendi.
“Adakah saya benar-benar orang yang paling berbunyi crack di luar sana? Saya rasa kita perlu tunggu dan lihat,” katanya.-AGENSI