LILLE: Sekurang-kurangnya 10 orang cedera termasuk empat parah selepas sebuah kereta merempuh orang ramai yang menghadiri festival layang-layang antarabangsa di utara Perancis.
Pemandu kereta itu sudah ditahan dan punca kejadian masih sedang disiasat.
Menurut pihak berkuasa di Pas-de-Calais, laporan siasatan awal menunjukkan pemandu warga emas itu hilang kawalan kenderaan lalu merempuh sekumpulan penduduk yang berkumpul dalam acara itu.
Kejadian itu berlaku di bandar kecil Berck-sur-Mer.
Sementara itu, pasukan perkhidmatan kecemasan mengesahkan empat mangsa yang mengalami kecederaan parah merupakan wanita.
Katanya, mangsa wanita itu termasuk dua warga emas yang masing-masing berusia 75 dan 82 tahun.
Festival tahunan itu yang dianjurkan selama beberapa hari, menarik ratusan ribu pengunjung dari seluruh dunia. – AFP/AGENSI