TAIPEI: Kapal perang Amerika Syarikat (AS), USS Milius belayar melalui Selat Taiwan kelmarin yang disifatkan sebagai transit rutin selepas beberapa hari China menamatkan latihan perang terbarunya di sekitar pulau itu.
China yang menganggap Taiwan sebagai wilayahnya secara rasmi menamatkan tiga hari latihannya di perairan negara itu minggu lalu.
Republik itu mengadakan latihan bagi menyatakan kemarahan pada pertemuan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dengan Speaker Dewan Perwakilan AS, Kevin McCarthy kerana melihatnya sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalaman China selain sokongan AS untuk mengesahkan identiti berasingan Taiwan daripada China.
Armada Ke-7 Tentera Laut AS berkata, kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke, USS Milius menjalankan rutin rondaan di Selat Taiwan melalui perairan yang mana kebebasan pelayaran dan penerbangan di laut lepas adalah terpakai mengikut undang-undang antarabangsa.
KOMITMEN DI INDO-PASIFIK
Transit kapal itu di perairan Taiwan juga menunjukkan komitmen AS terhadap Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, tambahnya.
Sementara itu, Komander Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China berkata dalam catatan media sosial, mereka mengatur tentera untuk mengikuti dan memantau kapal pemusnah AS sepanjang operasinya di perairan itu.
Kementerian Pertahanan Taiwan pula berkata, kapal AS itu dilaporkan belayar ke arah utara melalui selat dan semasa transit, keadaan di selat itu kelihatan tenang seperti biasa.
MISI RUTIN
Dikatakan, kapal perang AS melalui Selat Taiwan sekitar sebulan sekali dan juga kerap menjalankan misi pelayaran yang sama di Laut China Selatan yang dipertikaikan.
Minggu lalu, USS Milius belayar berhampiran salah satu pulau buatan manusia dan terkawal China yang paling penting di Laut China Selatan, Mischief Reef.
Bagaimanapun, Beijing mengecamnya sebagai pencerobohan dan tidak sah.
China dilaporkan meneruskan aktiviti ketenteraannya di sekitar Taiwan sejak latihan berakhir, walaupun dalam skala yang dikurangkan.
Semalam, Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, ia mengesan 18 pesawat tentera China dan empat kapal tentera laut yang beroperasi di sekitar Taiwan dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
GUNA KEKERASAN
China didakwa tidak pernah meninggalkan kekerasan untuk membawa Taiwan yang ditadbir secara demokrasi di bawah kawalannya.
Kerajaan Taiwan dikatakan menolak tuntutan wilayah China dan berkata hanya penduduk pulau itu boleh menentukan masa depan mereka.
Minggu lalu, PLA berkata, operasi mereka di perairan Taiwan digelar sebagai Pedang Tajam Bersatu.
Pada 5 April lalu, McCarthy dan delegasi kongres dwipartisan bertemu Ing-Wen di Simi Valley, California, satu langkah yang meningkatkan ketegangan AS, Taiwan dengan China.
McCarthy berkata, mereka akan mencari jalan untuk rakyat AS dan Taiwan bekerjasama untuk mempromosikan kebebasan ekonomi, demokrasi, keamanan dan kestabilan di Asia.
Taiwan adalah negara demokrasi yang mempunyai pemerintahan sendiri, tetapi China memandang Taiwan sebagai wilayah di tanah besarnya.
Beijing menganggap sebarang percubaan oleh pemimpin Taiwan untuk bertindak secara bebas daripada Beijing sebagai ancaman kepada kedaulatan China.
Dalam pertemuan itu, Ing-Wen turut mengucapkan terima kasih kepada ahli Kongres kerana meningkatkan keupayaan pertahanan diri Taiwan, merujuk kepada berbilion dolar dalam jualan senjata tahunan AS ke Taiwan yang menerima kelulusan kongres.
Bercakap dalam sidang akhbar solo, McCarthy berkata, AS harus mempercepatkan penghantaran senjatanya ke Taiwan. –REUTERS/AGENSI