BULELENG: Sebanyak tiga jentera berat yang beroperasi di tapak pelupusan sampah (TPA) Bengkala di Bali mengalami kerosakan, menyebabkan longgokan sampah menggunung tinggi hingga mencecah 18 meter.
Ketua Jabatan Alam Sekitar Wilayah Buleleng, Gede Melandrat berkata, jentera berat untuk mengendalikan sampah di pusat tersebut sudah uzur dan masalah bertambah rumit apabila kesemua jentolak itu rosak serentak.
Menurut Gede, pihaknya berdepan kesukaran kerana ketiadaan alat ganti jentera berat yang dapat diperoleh di wilayah itu dan beliau perlu berkoordinasi dengan pihak ketiga untuk mendapatkannya segera.
“Kerosakan sudah berlaku sejak dua minggu lalu, dan ketiga-tiga jentera berat mengalami kerosakan serentak.
“Sebaik-baiknya di TPA Bengkala yang berkeluasan hampir 4.8 hektar diperlukan lima hingga tujuh jentolak untuk memecahkan sisa buangan kerana setiap hari purata sisa masuk mencecah 150 tan,” jelasnya.
Katanya, kerosakan jentera tersebut bukan sahaja membantutkan proses penguraian sisa pepejal tetapi juga menjejaskan kutipan sampah harian di kawasan sekitar kerana TPA itu merupakan satu-satunya di wilayah Buleleng.
“Akibat keadaan ini, kami terpaksa menangguhkan pengumpulan sisa di kawasan kejiranan dan kampung sekitar.
“Kami cuba mencari jalan keluar, salah satunya menggalakkan pengasingan sampah di rumah masing-masing. Jadi hanya sisa bukan organik akan dibawa ke tapak pelupusan Bengkala,” tambahnya.