Israel lulus pelan militan Ben-Gvir  - Utusan Malaysia

Israel lulus pelan militan Ben-Gvir 

ITAMAR Ben-Gvir sering menyokong keganasan serta hasutan terhadap rakyat Palestin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Kabinet Israel meluluskan rancangan kontroversi Menteri Keselamatan berhaluan kanan Israel, Itamar Ben-Gvir untuk menubuhkan pasukan pengawal negara bagi menangani pergolakan dalam masyarakat Palestin di Israel.

Pejabat Perdana Menteri berkata,  Kabinet meluluskan penubuhan pasukan itu, namun sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada agensi keselamatan sedia ada Israel akan menentukan bidang kuasa pasukan tersebut dan sama ada menjadi badan polis atau menerima arahan terus daripada Ben-Gvir seperti yang dituntutnya.

Menurut portal Al Jazeera, jawatankuasa berkenaan diberi tempoh 90 hari untuk mengusulkan cadangannya.

FANTASI EKSTREMIS BEN-GVIR

Satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Ben-Gvir berkata, pasukan pengawal itu akan beroperasi di bawah kementeriannya bagi menangani senario kecemasan, jenayah nasionalistik, keganasan dan pengukuhan kedaulatan.

Tindakan berkenaan merupakan syarat yang ditetapkan oleh ketua parti Kuasa Yahudi itu untuk bersetuju membekukan reformasi kehakiman kontroversi kerajaan berikutan bantahan berbulan-bulan dan mogok umum  minggu lalu.

Pemimpin pembangkang, Yair Lapid menyifatkan keputusan kerajaan tersebut sebagai ‘fantasi ekstremis’  dan menyelar keputusan berasingan untuk mengurangkan belanjawan daripada kementerian lain bagi membiayai pasukan yang digelar ‘militia persendirian’ Ben-Gvir itu.

“Keutamaan yang diberikan kerajaan itu sangat tidak masuk akal dan keji.  Perkara ini jelas melangkaui demokrasi dan mempromosi fantasi melampau mereka yang kurang siuman,” kata Lapid di laman Twitter.

Di bawah rancangan Ben-Gvir, unit itu akan bekerjasama dengan polis dan tentera bagi menangani bantahan oleh rakyat Palestin yang disifatkannya sebagai kekacauan awam seperti yang berlaku di Gaza pada Mei 2021.

“Ia akan menangani perkara ini secara eksklusif. Pihak polis tidak menangani perkara ini secara eksklusif. Ia sibuk dengan seribu satu perkara,” kata Ben-Gvir kepada Army Radio.

HANYA KERUHKAN KEADAAN

Pengkritik memberi amaran bahawa Ben-Gvir yang juga seorang peneroka Yahudi tegar di Tebing Barat dan sering menyokong keganasan serta hasutan terhadap rakyat Palestin, dikhuatiri akan menggunakan kekuatan sekitar 2,000 tentera khususnya terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaan atau penduduk Palestin dan Arab.

Malah, bekas Komander Daerah Polis Tel Aviv, David Tzur turut berpendapat, tiada keperluan untuk pasukan berasingan menjaga keamanan di Tebing Barat.

“Saya fikir kita perlu mengukuhkan pasukan polis sedia ada.

“Kami tidak boleh menerima apa-apa jenis penguatkuasaan undang-undang yang bukan di bawah pesuruhjaya polis. 

“Adalah sangat pelik bahawa kerajaan akan membuat keputusan untuk mewujudkan satu lagi unit polis, dan pasukan ini hanya akan menjadi militia persendirian, sekali gus mencetus bencana yang lebih besar,” katanya.

Lapor media Israel, beberapa menteri pada mulanya menentang projek Ben-Gvir, tetapi akhirnya bersetuju atas desakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang bersetuju mengeluarkan bajet  sekitar $276 juta (RM1.2 bilion) untuk projek berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya