India rampas gelaran penduduk paling ramai  - Utusan Malaysia

India rampas gelaran penduduk paling ramai 

INDIA dijangka atasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia minggu depan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: India akan mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia pada minggu depan selepas populasi negara itu mencecah hampir 1.43 bilion orang, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB mengesahkan, menjelang akhir bulan ini, penduduk India dijangka mencecah 1,425,775,850 orang dan akan menyamai sebelum mengatasi penduduk tanah besar China.

Minggu lalu, laporan tahunan Negara Penduduk Dunia PBB mengatakan pencapaian itu akan diraih pada pertengahan tahun ini.

Namun, Pengarah Bahagian Penduduk dan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial, John Wilmoth berkata, laporan itu menggunakan unjuran yang dibuat berdasarkan data tahun lepas.

Tetapi unjuran yang diumumkan kelmarin adalah berdasarkan data yang lebih terkini.

POPULASI MENINGKAT

India bakal mendahului China berikutan pertumbuhan pesat dalam populasinya sendiri dan penurunan dalam populasi China selepas mencecah 1.426 bilion tahun lepas.

Menurut unjuran PBB, populasi China yang dianggap sebagai negara paling ramai penduduk di dunia sejak kejatuhan Empayar Rom pada Abad ke-5 Masihi, dijangka menurun secara berterusan kepada kira-kira satu bilion orang menjelang akhir abad ini.

Data populasi China itu tidak termasuk Taiwan, Hong Kong atau Macau.

Sebaliknya, penduduk India pula dilaporkan hampir pasti untuk terus berkembang dalam dekad akan datang.

Unjuran median PBB menyaksikan India mencecah 1.5 bilion menjelang pertengahan abad walaupun pegawai menegaskan angka itu mungkin jauh lebih rendah atau lebih tinggi.

Kejatuhan populasi China dikaitkan dengan dasar ketat selama beberapa dekad untuk membenarkan setiap pasangan suami isteri mempunyai hanya seorang anak yang berakhir pada tahun 2016.

Di samping itu, pertumbuhan itu perlahan berpunca daripada peningkatan kos sara hidup termasuk peningkatan bilangan wanita China yang memasuki tenaga kerja dan mendapatkan pendidikan tinggi.

Tahun lepas, kadar kesuburan China jatuh ke salah satu tahap paling rendah di dunia iaitu 1.2 kelahiran bagi setiap wanita.

Bagi India yang mengambil masa lebih lama daripada China untuk mengawal pertumbuhan penduduk, kadar kesuburan ialah 2.0 kelahiran bagi setiap wanita, hanya di bawah paras penggantian 2.1.

PENUAAN PENDUDUK DAN CABARAN PEKERJAAN

Kedua-dua negara mesti berhadapan dengan populasi yang semakin tua, dengan China dijangka melebihi India.

India menghadapi cabaran besar menyediakan tenaga elektrik, makanan dan perumahan untuk penduduknya yang semakin meningkat, dengan banyak bandar besar sudah bergelut akibat kekurangan air, pencemaran udara serta kawasan setinggan yang sesak.

Perdana Menteri Narendra Modi juga berdepan cabaran untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada berjuta-juta orang muda yang memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun.

Sementara itu ekonomi China pula sebaliknya semakin sukar mengisi jawatan di pasaran kerja berikutan penduduknya yang semakin tua.

Beijing berkata, strategi nasional sudah direka untuk bertindak balas secara aktif terhadap penuaan penduduk, menggalakkan dasar kelahiran tiga anak dan langkah sokongan selain perubahan dalam pembangunan penduduk.

“Pembahagian demografi China tidak hilang. Bakat semakin terbentuk dan momentum pembangunan kekal kukuh,” kata jurucakap kementerian luar China, Wang Wenbin.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya